Sindiket kumpul minyak sawit mentah tumpas

1 week ago 11

JOHOR BAHRU – Ketangkasan sepasukan polis dari Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket yang menjalankan aktiviti pengumpulan minyak sawit mentah di kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, Sabtu lalu.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, dalam serbuan Op Taring Palma yang dijalankan pada pukul 10 pagi itu, pihaknya memberkas dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan berusia 36 hingga 47 tahun ketika memindahkan minyak sawit mentah dari lori tangki ke dalam tong drum dalam lori tiga tan di sebuah premis di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua saspek gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki dan menyimpan minyak sawit mentah.

“PGA merampas sebuah lori tangki, sebuah lori tiga tan, empat tong drum, satu hos getah dan 49 tan minyak sawit mentah bernilai RM294,000,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hakemal berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM806,500 dan kes disiasat oleh Malaysian Palm Oil Board(MPOB) dibawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Menurutnya, minyak sawit berkenaan diperolehi secara sah namun pemandu lori mengambil kesempatan daripada lebihan minyak yang berada di dalam tangki untuk dijual ke pihak ketiga dengan harga lebih murah.

Mereka melakukan pemindahan di kawasan perindustrian bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Tambahnya, tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengumpulan minyak sawit mentah tanpa permit yang sah disekitar Masai dan Pasir Gudang, di sini.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama tempoh enam bulan dan kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai pemandu lori manakala seorang lagi suspek warga asing bertindka sebagai penjaga premis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |