‘Setiap hari doa nak cepat kurus, menjadi!’

4 hours ago 2

PETALING JAYA -Pelakon Datin Atikah Suhaime menolak membuat sebarang reviu produk pelangsingan badan kerana tidak memberi sebarang kesan untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik.

Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 35, sebaliknya berkata, pengambilan ubat kurus seperti yang dijual dalam media sosial mempunyai kesan negatif dan perkara tersebut pernah berlaku kepada ibu mentuanya.

“Saya dulu begitu, terima tawaran reviu produk kurus sedangkan berat badan saya turun sebab diet dan melakukan senaman setiap hari.

“Ibu mentua pula percaya dengan reviu produk kurus tersebut. Dia ambik produk itu kemudian terus tak boleh bernafas dan masuk hospital.

“Selepas itu baru sedar apa yang saya buat itu salah. Sebab itu saya berhenti reviu produk kurus. Bayangkan kalau orang lain juga kena tipu macam ibu mentua,” katanya dalam Instagram.

Dia berkata demikian bagi membalas komen netizen yang memujinya berusaha keras melakukan senaman untuk mendapatkan bentuk badan ideal selepas bersalin.

Dalam masa sama, Atikah berkata, segelintir selebriti memiliki bentuk badan yang cantik disebabkan diet pemakanan yang mereka amalkan.

Dia juga berpendapat untuk memiliki bentuk badan yang cantik dan sihat juga tidak memerlukan perbelanjaan besar dan bergantung kepada diet pemakanan individu tersebut.

“Jangan ambil ubat kurus, tak berkesan. Segelintir artis ramai ada badan cantik sebab senaman dan amalan pemakanan.

“Nak turunkan berat badan adalah satu perjalanan, bukannya tiba-tiba kurus. Itu gaya hidup.

“Ramai orang ingat nak kurus kena banyak duit padahal tidak. ‘Potong’ gula, senaman, jangan ambil makanan ringan, biskut, roti dan hindari minum manis,” katanya lagi.

Meski berusaha keras, dia juga sentiasa berdoa agar segera memiliki badan lebih kurus.

“Perlu sabar dan doa setiap hari.

“Saya berdoa setiap hari minta cepat kurus. Betul-betul menjadi. Percaya pada doa,” jelasnya yang kini aktif melakukan senaman termasuk berjalan di atas mesin treadmill.

Sebelum ini, Atikah dalam media sosialnya berkata dia kini dalam proses menurunkan berat badan selepas melahirkan bayi sulungnya, Lyla Mulan Teh pada Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |