MELAKA – Seorang peniaga kedai makan tidak dapat menahan sebak apabila lebih setahun bergelut mencari pelanggan akhirnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, kelmarin.
Pemilik restoran, Syaza Nadzirah Nizar, 40, dilihat menitiskan air mata ketika menzahirkan rasa terima kasih kepada Mohd. Noor Helmy yang hadir secara mengejut ke kedainya di Restoran Singgah Sini 2, Taman Panglima.
Menurut Syaza, restorannya yang beroperasi sejak lebih setahun lalu mengetengahkan masakan istimewa Padang, Indonesia dengan lebih 30 jenis lauk tradisional termasuk gulai keting, rendang Padang, sambal hijau serta aneka juadah masak belado.
“Lauk-pauk ini sentiasa kami tukar supaya pelanggan tidak jemu, namun sejak awal operasi pelanggan memang sangat kurang. Dalam sehari, untuk habiskan enam ekor ikan pun susah.
“Pelbagai promosi telah saya lakukan termasuk menawarkan bufet pada harga RM10 seorang tanpa had lauk, tetapi sambutan tetap mengecewakan,” katanya ketika ditemui di restoran itu.
Tambah ibu dua anak itu, pemilihan masakan Padang dibuat bagi memberi kelainan kepada pelanggan yang kebiasaannya dihidangkan menu asam pedas sebagai juadah tengah hari.
“Saya belajar memasak di Indonesia selama sebulan bersama ibu semata-mata untuk menyediakan menu ini kepada pelanggan, khususnya peminat masakan Padang.
“Namun sepanjang tempoh ini, saya terpaksa ‘korek’ sana dan sini untuk menampung kos operasi bulanan mencecah kira-kira RM30,000 termasuk RM10,000 gaji lima pekerja, sewa premis serta bil utiliti sebulan,” ujarnya.
Syaza turut mengakui pernah terdetik untuk menutup perniagaan tersebut, namun terus bertahan atas rasa tanggungjawab terhadap pekerjanya yang terdiri daripada ibu tunggal.
Sementara itu, Mohd. Noor Helmy berkata, beliau terpanggil untuk mengunjungi restoran berkenaan selepas melihat kesungguhan Syaza mempromosikan perniagaannya di media sosial termasuk Threads.
“Saya hadir sebagai tanda sokongan dan pada saya masakannya sedap, ini juga kali pertama saya menikmati gulai keting.
“Cabaran kini berbeza kerana trend pesanan makanan dalam talian semakin meningkat dan orang ramai kurang makan di kedai. Namun saya harap peniaga tidak putus asa dan terus mempromosikan produk secara kreatif,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu peniaga tempatan melalui saluran bersesuaian termasuk sokongan promosi serta penganjuran program di lokasi strategik.-KOSMO! ONLINE

19 hours ago
5



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)








![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)




































