KLANG – Taktik penyeludupan diesel dari kapal tunda ke tangki minyak di perkampungan air bernilai hampir RM1 juta berjaya dibongkar dalam serbuan di Jeti Bagan Hailam di sini, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 3 pagi hasil risikan selama dua bulan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tersebut turut menemui saluran penyambungan diesel dibuat sepanjang lebih 200 meter melalui bawah jeti berkenaan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, kejayaan itu hasil kerjasama unit risikan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan siasatan mendapati jeti berkenaan digunakan bagi kapal-kapal tunda berlabuh.
Katanya, operasi pemindahan haram itu dilakukan khususnya pada waktu malam berikutan kawasan ini dipenuhi kapal dan bot seterusnya mengaburi aktiviti mensabotaj bahan subsidi kerajaan ini.
“Ketika serbuan dilakukan terdapat sebuah kapal tunda sedang berlabuh di jeti terbabit dan dipercayai diesel sedang dipam keluar ke tangki simpanan.
“Pasukan serbuan telah menahan lima lelaki dengan empat daripada warga Indonesia berusia 30 hingga 50 tahun yang berada dalam bot tunda itu,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.
Hasil pemerhatian Kosmo! terdapat empat tangki simpanan diesel bagi proses pemindahan haram itu namun satu sahaja berisi penuh dan disita.
Menurut Azman, kuantiti diesel yang dirampas di dalam tangki bot dan tangki simpanan melebihi 50,000 liter yang dianggarkan bernilai RM900,000.
Tambah Azman, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku sebagai pemilik kapal berusia 50-an tunda berkenaan bagi mendapatkan butiran lanjut untuk siasatan lanjut.
“Siasatan kita akan memfokuskan dari mana sumber itu diperoleh sama ada dari pembekal sah atau sebaliknya.
“Kita percaya aktiviti ini telah lama berlaku namun ia tidak berlaku setiap hari dan menunggu waktu sesuai terutama ketika air pasang surut selain permintaan serta sumber bekalan,” ujarnya.
Azman turut menegaskan siasatan juga akan dilakukan sama ada wujud komplot di kalangan penduduk tempatan itu sendiri.
“Kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebanyak 16,876 pemeriksaan dilakukan bermula 1 Januari hingga 10 Disember lalu di seluruh negara.
“Sebanyak 732 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM73. 11 juta. Bagi Semenanjung, petrol adalah paling banyak diseludup manakala Sabah dan Sarawak melibatkan diesel,” katanya. – KOSMO! ONLINE