SC ambil tindakan terhadap 19 pemilik akaun keldai

2 months ago 29

PETALING JAYA -Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 19 pemilik akaun bank keldai kerana menerima hasil daripada aktiviti haram.

SC menerusi satu kenyataan berkata, akaun keldai sering digunakan dalam skim pelaburan palsu yang mempromosikan produk seperti saham dan mata wang kripto melalui media sosial.

Katanya, penggunaan akaun keldai oleh sindiket penipuan semakin meningkat yang mana pemilik akaun bank itu sama ada sedar atau tidak, membenarkan akaun mereka digunakan untuk aktiviti jenayah seperti penipuan pelaburan, ‘love scam’, pancingan data (phishing) dan penipuan siber.

“Mangsa diarahkan memindahkan wang ke akaun keldai dengan janji pulangan tinggi, tetapi akhirnya ditipu.

“Berdasarkan kajian mengenai pembentukan akaun keldai di Malaysia, pemerolehan biasanya membabitkan janji faedah kewangan kepada individu yang terdesak.

“Penipu atau wakil mereka menggunakan media sosial seperti Facebook untuk mencari mereka yang berminat untuk ‘menyewakan’ akaun bank mereka untuk sesuatu bayaran,” katanya.

Tambahnya, bayaran terbabit mungkin secara sekali gus (one-off), bulanan, atau komisen berdasarkan jumlah wang yang diterima melalui akaun bank keldai terbabit.

“Golongan sasaran utama adalah mereka yang terdesak termasuk pelajar muda berusia 21 hingga 30 tahun serta individu berpendapatan rendah dan ramai yang tidak menyedari risiko undang-undang apabila akaun mereka digunakan untuk aktiviti haram.

“Terdapat pelbagai skim penipuan pelaburan yang menggunakan akaun bank keldai sebagai modus operandi mereka,” ujarnya.

Susulan itu, pihaknya mengambil tindakan terhadap 19 pemilik akaun bank keldai kerana menerima hasil daripada aktiviti haram, di mana setiap individu didenda sebanyak ratusan ribu ringgit.

“SC akan terus berusaha membanteras aktiviti akaun keldai dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

“Kesedaran masyarakat amat penting untuk memastikan sindiket tidak dapat bertapak dan paling utama, elakkan mendepositkan wang ke akaun yang mencurigakan,” jelasnya.

Orang ramai diminta membuat semakan status akaun menggunakan portal ‘Semak Mule’ sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Jika anda menjadi mangsa, segera hentikan komunikasi dengan penipu dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti Pusat Respons Penipuan Nasional (NSRC).

“Selain itu, jangan berkongsi maklumat akaun bank, ID log masuk, kata laluan, atau OTP, elakkan tawaran kerja yang meminta maklumat akaun bank anda, sentiasa pantau transaksi akaun dan laporkan kepada bank jika terdapat aktiviti mencurigakan.

“Jangan biarkan akaun anda digunakan untuk menerima atau memindahkan dana orang lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |