Saya sakit tapi ada RM30 sahaja….

17 hours ago 4

PETALING JAYA – “Pagi semalam saya sakit, jauh dari keluarga, dengan RM30 sahaja di tangan… Allah hantar seorang pakcik Grab sebagai ‘penyelamat’,”

Demikian luahan seorang wanita dikenali sebagai @Mirzahiraa di Thread yang berkongsi pengalamannya dibantu seorang pemandu Grab ketika dia sedang sakit dan keseorangan di perantauan.

Wanita berasal dari Perak itu dan kini menetap di Seremban berkata kejadian bermula apabila dia bangun pada waktu subuh dalam keadaan menggigil kerana tidak sihat.

Kemudian, dia berjalan kaki ke klinik berdekatan sebelum mendapati premis tersebut tutup dan hanya mempunyai RM30 sementara menunggu waktu gaji.

“Bila Grab sampai, pak cik pemandu tu nampak saya dah menangis teruk, duduk tak senang. Dia mula tanya ok tak sakit apa semua. Saya tanya dia, klinik mahal tak, sebab saya ada RM30 sahaja hari ini.”

“Pak cik grab terus kata, “Takpe dik, duit jangan risau, jom pak cik tolong cari tempat lain.” Masa tu saya menangis lagi teruk sebab dari awal sakit sampai habis saya asyik teringat ummi ayah. Mulut saya asyik panggil, tapi sosok ummi ayah jauh. Allah gantikan dengan pak cik ni ada tolong saya sepanjang tu,” tulisnya.

Bukan setakat menghantarnya hingga ke pintu kecemasan, wanita berkenaan berkata, pemandu itu turut membelikan sarapan, memberikan wang belanja tambahan serta menghubunginya semula untuk bertanya khabar dan menawarkan bantuan jika dia dimasukkan ke wad.

Kelihatan dalam tangkap layar perbualan WhatsApp yang dimuat naik, pak cik tersebut juga tidak henti-henti bertanya keadaan wanita itu dan menawarkan bantuan untuk ambil dari hospital.

“Semalam pak cik tolong saya, mudahkan urusan saya. Saya doa setiap hari Allah permudahkan pula urusan pak cuk dan luaskan rezekinya,” tambah wanita itu lagi.

Dalam masa yang sama, wanita itu turut berharap orang ramai memberi penilaian lima bintang dan komen baik jika menggunakan khidmat pemandu Grab tersebut.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji pak cik tersebut yang dianggap pemurah dan baik hati meskipun hanya bekerja sebagai pemandu Grab.

“Padahal dia tahu diri sendiri susah, tapi ambil risiko nak tolong orang. Mulianya hati pak cik ni, saya doakan pak cik dimurahkan rezeki sentiasa,” komen Nabil.

“Alhamdulillah rezeki awak Allah temukan awak dengan orang-orang baik,” komen Farhan.

“Menangis saya baca cerita awak, saya faham perasaan apabila berjauhan dengan keluarga dan hidup sebatang kara,” komen Qistina pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |