SEBAGAI antara alumni program Gegar Vaganza (GV) paling berjaya, Siti Nordiana mempunyai pandangan tersendiri apabila penyanyi senior, Man Bai menyifatkan pertandingan tersebut memalukan penyanyi sedia ada.
Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 41, berkata, semua orang ada pendapat masing-masing, namun baginya secara peribadi, GV adalah platform yang kembali merancakkan kariernya yang dahulunya suram.
Nana yang ditemui HibGlam usai persembahan eksklusif Live Music @ Sea Genting Dream bersama Tomok baru-baru ini turut mengulas tentang kenyataan juri tetap GV, Datuk Ramli MS yang menegaskan bahawa seseorang penyanyi itu tidak perlu terpekik bagai tarzan untuk menunjuk-nunjuk kemampuan vokal.
HIBGLAM: Apa pendapat anda tentang komen penyanyi senior, Mai Bai yang mempertikai kredibiliti program GV?
SITI NORDIANA: Bagi saya, setiap orang ada pendapat masing-masing tapi saya mengaku bahawa GV adalah satu platform yang sangat banyak membantu. Dahulu karier saya suram tetapi selepas masuk GV, kerjaya nyanyian saya umpama dihidupkan semula. Jadi untuk saya, GV tidak langsung memalukan. Saya banyak belajar termasuk berguru dengan para juri. Semestinya saya sangat bersyukur dengan semua itu.
Bila terbaca kenyataan tersebut keluar dari bibir seorang penyanyi seperti Man Bai, adakah anda terkejut?
Macam saya cakap, itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Kalau bercakap daripada sudut pengalaman dan jasa program, memang GV sangat memberi impak terhadap karier saya.
Baru-baru ini juri GV, Ramli MS mengeluarkan kenyataan penyanyi tak perlu terjerit-jerit macam tarzan untuk membuktikan kemampuan, apa komen anda?
Bagi saya secara peribadi, memang ada betulnya juga apa kata Tok Ram tetapi terpulang kepada masing-masing punya genre sebenarnya. Ada orang memang dikenali dengan suara yang tinggi. Disebabkan suara dia tinggi itulah sampai orang tak sabar nak tengok dia menyanyi.
Ada penyanyi lain, orang suka dia menyanyi lembut dan merdu. Jadi, masing-masing ada kehendak dan signatur tersendiri dalam menonjolkan mutu nyanyian mereka. Tiada masalah sebab kita semua ada banyak cita rasa dan pilihan dalam hidup. Ada orang suka lagu-lagu ‘leman’ (kampung) ada juga yang suka lagu bernada tinggi macam gunung (ketawa). Macam saya suka lagu yang lembut dan mendayu-dayu.
Sebagai penyanyi, anda mementingkan kemerduan atau kemampuan menyanyi nada tinggi?
Sebagai seorang penyanyi, perlu ada kedua-dua elemen tersebut. Kalau diminta nyanyi lagu bernada tinggi, akan saya sampaikan sehabis baik. Dalam seni nyanyian itu sendiri ada dinamika, ada tinggi, ada rendah dan sebagainya. Bagaimanapun, kalau tanya saya memang saya pentingkan kemerduaan dalam nyanyian. Itu nombor satu sebab saya memang dikenali dengan lagu-lagu sebegitu.
Sedikit tentang keserasian melakukan persembahan bersama Tomok menjelang konsert Memori Mungkin Berulang yang akan berlangsung 1 Februari nanti.
Alhamdulillah, malam ini (20 Januari lari), kami berkongsi pentas untuk persembahan eksklusif atas kapal persiaran Genting Dream. Seronok sebenarnya dapat menyanyi dengan Tomok sebab kami pun ‘sezaman’. Tak sangka persembahan kami dapat sambutan apatah lagi pertama kali buat persembahan atas ‘cruise’. Untuk konsert di Zepp KL nanti, kami memang tak sabar mahu menghiburkan penonton. Semestinya durasi konsert lebih panjang. Kita tunggu nanti.