‘Saya ada bukti audio, video keganasan dilakukan Edika’

19 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Bekas isteri kepada pelakon Edika Yusof, Nor Hidayah mendedahkan anak-anak menjadi saksi insiden keganasan rumah tangga selain polis juga pernah dipanggil ke rumah beberapa kali bagi mengawal keadaan.

Nor Hidayah berkata, semua yang terjadi diketahui seisi keluarga terutama puterinya, Fereena Nurulhaq, 21, yang akan menghubungi abang sulungnya jika berlaku insiden yang tidak dapat dikawal.

“Edika boleh menafikan (kekasaran). Saya ada bukti kukuh yang saya berikan di mahkamah meliputi gambar, video dan audio. Anak-anak juga jadi saksi. Walaupun anak perempuan tak duduk dengan saya tak bermaksud dia tidak tahu. Dia berpihak pada saya.

“Contoh kalau ada kejadian tertentu yang tak dapat dikawal, anak perempuan saya orang pertama tanya dan hubungi abang sulung. Kalau abang tak dapat datang, dia hubungi polis.

“Banyak kali polis datang rumah malah dia juga simpan bukti. Kalau pergi ke Balai Polis Kepong, tanya mereka dah berapa banyak kali polis datang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.

Ikatan perkahwinan antara Nor Hidayah, 47, dengan Edika, 58, berakhir selepas lelaki terbabit melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh tepat pukul 10.42 pagi tadi.

Dalam pada itu, Hidayah turut mendakwa dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak awal perkahwinan mereka sekitar 22 tahun lalu.

“Ya, (keganasan rumah tangga). Dalam mahkamah dia tetap mahu menafikan perkara itu. Saya tak nak (keluarkan bukti).

“Keganasan itu berlaku dari sebelum saya sakit lagi. Jadi dah lebih 20 tahun,” ujarnya.

Pada 23 April lalu, Hidayah menyenaraikan 10 alasan yang menyebabkan dia membuat permohonan cerai terhadap Edika.

Kesemua sebab tersebut disifatkan perkara kritikal sehingga membuatkan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

Wanita yang lumpuh separuh badan akibat meningitis itu Hidayah memfailkan permohonan cerai pada pertengahan Februari lalu.

Pasangan mendirikan rumah tangga pada 16 Januari 2004 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fardeen, 21, Nasrulhaq dan Fereena Nurulhaq, 20.

Nor Hidayah juga memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinannya yang terdahulu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |