Sapura Energy kembali untung dengan mencatat pemulihan ketara

3 days ago 6

PETALING JAYA – Sapura Energy Berhad (SEB) dan kumpulan syarikatnya pertama kali mencatat keuntungan  dalam keputusan kewangan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (TK2025).

Ini kali pertama Kumpulan mencatat keuntungan  setelah enam tahun ekoran prestasi kewangan yang dicapainya bersandarkan daya tahan operasi SEB serta keberhasilan usaha penstrukturan semula dan pemulihan yang telah dilaksanakan.

Ini memberi peluang seterusnya kepada Kumpulan untuk  melangkah ke arah kestabilan dan kelestarian jangka panjang.

Pendapatan TK2025 berjumlah RM4.7 bilion, meningkat sebanyak 8.9 peratus atau RM385 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan pendapatan daripada segmen Kejuruteraan dan Pembinaan (E&C) serta Operasi dan Penyelenggaraan (O&M).

Kumpulan mencatatkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai, dan Pelunasan (EBITDA) sebanyak RM524 juta bagi TK2025 (FY2025), sementara Keuntungan Selepas Cukaidan Kepentingan Minoriti (PATAMI) mencapai RM190 juta.

Ini satu pemulihan yang ketara berbanding Kerugian Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (LATAMI) sebanyak RM509 juta yang dicatatkan pada Tahun Kewangan 2024 (TK2024).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pihaknya bersyukur kerana  akhirnya kembali mencatat keuntungan setelah mengharungi
beberapa tahun yang mencabar.

“Pelaksanaan Pelan Pemulihan bukanlah sesuatu yang mudah, namun saya
yakin tempoh paling sukar bagi SEB sudah berlalu.

“Bagaimanapun, masih ada beberapa cabaran yang perlu kami atasi sebelum berjaya keluar daripada status PN17.

“Pelan Pemulihan SEB merangkumi usaha menangani beban hutang yang tidak mampan serta menyelesaikan tuntutan tertunggak daripada pemiutang perdagangan.

“Selain itu, ia turut melibatkan penambahbaikan dalam proses pembidaan dan pelaksanaan projek dengan mengurangkan risiko dalam buku pesanan selaras dengan keupayaan dan toleransi risiko
syarikat,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu,  SEB juga memperkenalkan kerangka kewangan yang kukuh bagi memastikan disiplin kewangan dan pengurusan kos yang mampan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |