Sambutan bagus, Blood Brothers akan ada sekuel

1 day ago 7

“FILEM aksi paling sukar”. Demikian pengakuan spontan pengarah Syafiq Yusof mengenai naskhah terbaharunya, Blood Brothers: Bara Naga yang kini meledak di pawagam sejak ditayangkan 10 April lalu.

Biarpun berdepan cabaran, penonton sudah boleh meramalkan naskhah terbitan Skop Productions mampu menjadi filem terbaik bagi tahun 2025.

Rata-rata pengikut industri filem tempatan kagum dengan air tangan yang dihasilkan menerusi kolaborasi Syafiq dan Abhilash Chandra.

Menurut sutradara berusia 32 tahun itu, walau sudah menghasilkan banyak filem aksi, namun dia tetap berasa tekanan dalam melakukan babak berlawan.

“Cabaran utama adalah untuk buat aksi, sebab kadang-kadang nak buat letupan tidak susah tetapi babak berlawan sangat rumit.

“Memang memerlukan bajet sebab kalau tak okey hari ini kami perlu tambah untuk hari esok.

“Silapnya pada jangkaan saya. Saya rasa cukup masa, memang cukup tetapi kalau ikut Abilash dia nak seperti filem John Wick,” katanya dalam sidang media majlis tayangan perdana Blood Brothers: Bara Naga baru-baru ini.

Jadikan francais

Dalam masa sama, Syafiq tidak menolak andai naskhah berkaitan dunia mafia tersebut boleh dijadikan francais seperti filem sebelumnya iaitu Polis Evo.

“Apa yang saya belajar daripada filem ini, kalau kita ada bajet lebih sikit untuk tambah hari.

“Kalau ada kutipan baik untuk Blood Brothers: Bara Naga, insya-Allah kita akan ke langkah seterusnya.

“Kalau kutipan menggalakkan, memang perancangannya akan ada kesinambungan. Kami juga akan jadikan sebagai francais,” ujarnya.

Berbicara mengenai Lembaga Penapisan Filem (LPF), Syafiq akur apabila ada beberapa babak yang dipotong termasuk dalam trailer.

“Ada dua potongan daripada LPF dari segi segi dialog. Nasib baik tak mengganggu jalan cerita jadi saya terima sahajalah.

“Trailer pun ada juga dipotong, jadi memang saya terima sahajalah,” jelasnya.

Skrip, persiapan

Sementara itu, Abhilash memaklumkan penghasilan skrip Blood Brothers memakan masa selama setengah tahun dan latihan bersama pelakon juga mengambil masa selama enam bulan.

“Persediaan ‘stunt’ kami buat seakan-akan sama dengan skrip. Aktor pula sanggup buat persiapan dan latihan ‘stunt’ dalam enam bulan. Kalau cakap cara kerja tersusun mungkin kami ambil masa lama untuk siapkan,” tuturnya.

Abhilash turut menambahkan senarai pelakon pada saat akhir semasa sesi raptai sebelum memulakan penggambaran.

“Kita ada ramai pelakon gred A. Dalam filem ini setiap karakter dibenarkan untuk bersinar. Dari awal memang bayangkan Sharnaaz dan Syafiq Kyle pelakon utama.

“Tetapi watak Shazwan Zulkifly dan Shukri Yahaya dikembangkan semasa raptai dan kami tambah dialog,” ujarnya.

Mengangkat tema kepercayaan pengorbanan dan nilai persaudaraan, Blood Brothers: Bara Naga dibintangi Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham dan Ray Dap Dap.

Read Entire Article
Pertanian | | | |