Saham WF Holding mula disenarai di Pasaran Modal Nasdaq

3 days ago 7

PETALING JAYA – Saham WF Holdings Limited (WF Holding) pengeluar produk plastik bertetulang gentian kaca (FRP) yang berpangkalan di Malaysia,  telah mula  disenaraikan dan didagangkan di Pasaran Modal Nasdaq.

Tawaran awam awal (IPO) WF Holding itu telah dinilai pada hari sebelumnya pada $4.00 per saham dan  Ia mula diniagakan pada pagi Khamis (Zon Waktu Timur).

Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif WF Holding, Chee Hoong Lew berkata, penyenaraian ini adalah satu pencapaian penting bagi syarikat dan akan  membolehkan ia memperluaskan rangkaian produk, kapasiti dan tenaga kerja untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap produk FRP.

“Kami teruja untuk terus berkembang di Malaysia serta pasaran antarabangsa utama seperti Australia dan Singapura, dengan menyediakan produk dan penyelesaian FRP berkualiti tinggi kepada pelanggan.

“Pelan pengembangan kami merangkumi pemerolehan kilang sedia ada, penubuhan fasiliti pembuatan baharu, atau kerjasama strategik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Hoong Lew, pihaknya kini merancang untuk memperluaskan penawaran produk melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A), pembangunan produk dalaman, serta pelaburan dalam teknologi dan peralatan.

“Matlamat utama kami adalah untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk FRP dalam pelbagai industri seperti minyak dan gas, sistem kawalan pencemaran udara, serta tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.

Berdasarkan kejayaan penyenaraian berkenaan, syarikat dijangka menerima hasil kasar keseluruhan sebanyak AS$8 juta daripada tawaran ini, sebelum ditolak diskaun penaja jamin dan perbelanjaan berkaitan lain.

Dana yang diperoleh akan digunakan untuk memperluas kapasiti pengeluaran, pengambilan dan latihan pekerja, modal kerja serta keperluan korporat am.

Berpangkalan di Malaysia, WF Holding ialah pengeluar produk FRP yang diperakui ISO 9001:2015, termasuk tangki, paip, saluran udara dan produk FRP yang direka khas mengikut keperluan pelanggan.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun, syarikat ini mereka bentuk dan menghasilkan produk berkualiti tinggi yang menjamin prestasi yang boleh dipercayai.

Saham WF Holding tutup pada $3.75 pada harı pertama dagangan, memberi Syarikat nilai permodalan pasaran $93.56 juta (RM414.19 juta).

Dominari Securities LLC bertindak sebagai penaja jamin utama, manakala Revere Securities LLC bertindak sebagai penaja jamin bersama bagi tawaran ini.

Bevilacqua PLLC bertindak sebagai penasihat undang-undang syarikat di Amerika Syarikat, manakala The Crone Law Group, P.C. bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada penaja jamin dalam urusan berkaitan tawaran ini. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |