KUALA LUMPUR – Kerajaan memaklumkan bahawa rundingan berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lalu telah melalui proses penelitian undang-undang oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap fasa rundingan disertai semakan perundangan bagi memastikan negara tidak menandatangani sebarang perjanjian yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau kepentingan negara.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, ulasan Jabatan Peguam Negara diperlukan. Beberapa perkara diteliti dan disesuaikan berdasarkan pandangan undang-undang mereka.
“Ini bukan soal politik, ini soal ketelitian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai perjanjian tersebut ketika sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin turut memetik laporan media tempatan berhubung kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong yang mendakwa Malaysia ‘dipaksa’ menyertai rundingan perdagangan AS untuk melindungi eksport.
Susulan itu Anwar berkata, keputusan tarif yang diumumkan Amerika Syarikat adalah unilateral (satu sisi), namun negara memilih untuk menjalankan rundingan bagi mempertahankan kepentingan ekonomi negara, termasuk hak mengenakan tarif balas jika perlu.
“Kita tidak bersetuju dengan angka awal dan kita berunding sehingga diperhalusi. Negara-negara seperti Brazil, China dan Afrika Selatan juga mengambil pendekatan sama apabila berdepan keputusan unilateral sedemikian,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan terdapat klausa perlindungan dalam perjanjian tersebut yang memastikan undang-undang domestik dan dasar ekonomi seperti perlindungan Bumiputera kekal terjamin.
“Kita tidak mahu menandatangani apa-apa yang menjejaskan dasar negara. Klausa penguatkuasaan membenarkan Malaysia mengambil tindakan bagi melindungi keselamatan ekonomi dan undang-undang tempatan,” katanya.
Beliau dalam masa sama berkata kerajaan terbuka memberikan penjelasan lanjut, namun menjelaskan bahawa keputusan untuk mendedahkan sepenuhnya pandangan bertulis Jabatan Peguam Negara tertakluk kepada amalan pentadbiran dan kerahsiaan nasihat undang-undang kerajaan.- KOSMO! ONLINE

11 hours ago
4

![[VIDEO] Hebat Bezza, jadi pilihan polis Papua New Guinea](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-04-at-21.02.41.jpeg)
















![[VIDEO] Berpeluh dalam komuter 40 minit](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Untitled-design-2025-11-04T141912.331.png)






























