ALOR SETAR – Polis menyiasat kemungkinan terdapat ejen dan rumah transit yang disediakan untuk migran yang diseludup masuk ke negara ini menerusi perairan Langkawi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya percaya perkara itu berlaku berdasarkan tangkapan yang dilakukan sebelum ini.
“Seperti insiden terbaharu ini, logiknya mereka akan mendarat di lokasi terdekat iaitu di utara Langkawi seperti sekitar Teluk Ewa dan Teluk Datai.
“Jadi, bagi mereka yang terlepas, modus operandinya mungkin akan ada satu rumah yang disediakan sindiket sebagai rumah transit. Kita banyak tangkap kalau sebelah Langkawi, mereka duduk sehari dua sebelum bergerak ke Jeti Kuah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Katanya, PATI dipercayai turut menggunakan laluan domestik di Jeti Kuah untuk ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis.
“Ini kita bincangkan dan saya pun telah perincikan supaya dapat ditangani kelompongan yang ada iaitu peluang untuk mereka pergi ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis sebagai orang tempatan. Di situ banyak anggota kita berjaya tahan mereka dengan ejen,” ujarnya.
Bagi laluan darat, Adzli tidak menafikan PATI diseludup menerusi jalan tikus di sempadan Malaysia -Thailand di Kedah dan Perlis.
Ujarnya, ejen dipercayai menerima upah daripada sindiket mengikut kesukaran untuk menyeludup migran.
“Ada kes migran masuk menerusi Bukit Kayu Hitam dari Danok menggunakan motosikal sewa dengan bayaran hanya RM30. Mereka mungkin diarahkan oleh tekong. Ejen ini juga dipercayai menerima upah sehingga RM3,000 untuk menyeludup PATI,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, polis Kedah membuka sebanyak 111 kertas siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 melibatkan sebanyak 1,083 tangkapan sejak 2021.
“Warga Myanmar mencatatkan jumlah migran tertinggi seramai 918 orang, berbanding warga asing lain iaitu Indonesia (32), Thailand (9), India (8) dan Bangladesh (1).
“Jumlah itu turut melibatkan warganegara Malaysia seramai 113 orang yang disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan migran,” katanya.
Jelasnya, dalam tempoh sama, sebanyak 71 tekong warga asing ditahan terdiri daripada Myanmar (51), Thailand (16), Kemboja (2), Bangladesh (1) dan Indonesia (1).
Tambahnya, daripada 111 kertas siasatan tersebut, sebanyak 91 kes telah dituduh di mahkamah, manakala masing-masing lima masih dalam siasatan dan tiada tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4












![[VIDEO] ‘Dulu nenek dukung saya, sekarang nenek dukung cicit’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/cucu-nenek-cicit.jpeg)
![[VIDEO] ‘Kalau aku kerja sini, 8 pagi masuk, 8.01 pagi dekat bilik jenazah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/pekerja-ular.jpeg)

![[VIDEO] ‘Ni baju nikah arwah Najmi, kawan baik Aidil’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-19-at-2.33.18-PM.jpeg)

































