PETALING JAYA – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan status Rob Friend sebagai konsultan (penasihat) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.
Menerusi alasan bertulis penuh yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA hari ini, Friend telah dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang dilakukan oleh badan induk bola sepak antarabangsa itu, bulan lalu.
Kata kenyataan itu, Friend yang juga bekas pemain bola sepak Kanada mengakui dirinya hanyalah seorang penasihat dan hanya datang ke Malaysia pada hari perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya.
“Friend menjelaskan dia berperanan sebagai konsultan kepada FAM yang bermastautin di Kanada dan hanya berada di Malaysia pada hari perlawanan antarabangsa, serta menyatakan tugasnya adalah membantu projek tersebut.
“Friend turut mendakwa semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia dan hanya membantu kes tersebut sejak ia didedahkan pada 22 Ogos lepas.
“Dia juga menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut,” kata FIFA.
Sebagai rekod, Friend telah dilantik FAM pada awal tahun ini untuk memimpin revolusi skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Peter Cklamovski.
Friend antara individu yang tampil ke depan untuk bertemu wartawan pada sidang media khas FAM mengenai isu pemalsuan dokumen bulan lalu.
Pada sidang media tersebut, Friend mendedahkan pihaknya tidak terlibat dalam urusan dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan yang dihukum FIFA baru-baru ini.
Menurut Friend, Malaysia NT hanya menguruskan aspek teknikal dan prestasi, manakala isu berkaitan dokumentasi dan pendaftaran pemain dikendalikan sepenuhnya oleh FAM. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
6














![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)


































