RM372,222.66 sudah cukup, Hajah Asmah akan dibawa pulang

1 week ago 16

PETALING JAYA – Misi membawa pulang jemaah haji, Hajah Asmah, yang masih menerima rawatan di sebuah hospital di Mekah bakal direalisasikan selepas kutipan Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Waqaf Malaysia mencapai sasaran dan ditutup serta-merta, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sumbangan rakyat Malaysia yang luar biasa dalam tempoh singkat membolehkan tabung tersebut mengumpulkan sebanyak RM372,222.66.

Jelas beliau, baki selebihnya akan ditanggung oleh agensi agama di bawah beliau iaitu Lembaga Tabung Haji (TH) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Alhamdulillah, dengan semangat ukhwah dan kebersamaan, kutipan Tabung Musa’adah telah mencapai jumlah yang diperlukan. Dengan itu, kutipan ditutup serta-merta pukul 11 pagi tadi.

“Saya telah mengarahkan TH untuk menguruskan segala proses berkaitan bagi membawa pulang Hajah Asmah secepat mungkin, mengikut prosedur serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mohd. Na’im juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, badan korporat, pertubuhan serta para dermawan yang tampil menyumbang.

“Kesatuan dan sifat ihsan rakyat Malaysia benar-benar mencerminkan semangat perpaduan Malaysia Madani,” ujarnya.

Beliau turut mendoakan agar segala kebaikan para penyumbang diberi ganjaran berlipat ganda dan dipermudahkan segala urusan mereka.

Asmah Mansor, 71, merupakan jemaah terakhir musim haji 1446H yang masih berada di Saudi German Hospital di Mekah sejak 13 September lalu dan kini menunggu proses untuk dibawa pulang ke tanah air.

Asmah sebelum ini dilaporkan sedang bertarung nyawa akibat penyakit pneumonia di Mekah dan perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan (ventilator).

Difahamkan Asmah sempat menyempurnakan ibadah haji sebelum keadaan kesihatannya merosot secara mendadak.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |