Riuh Dewan Rakyat Shahidan kata Parlimen Malaysia gagal

15 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Suasana di dalam Dewan Rakyat tengah hari tadi riuh sekali lagi apabila berlakunya perang mulut antara RSN Rayer (PH- Jelutong) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai isu institusi Parlimen.

Pada mulanya, Shahidan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 mencadangkan agar Parlimen ditutup setelah berkata institusi tersebut gagal.

“‘Parlimen Malaysia sebagai institusi pengundangan yang bebas berwibawa dan bertaraf dunia’. Tak dunia pun dekat Malaysia pun gagal. Saya menyokong supaya Parlimen ini ditutup perkhidmatan. Dulu mula-mula tu tutup kemudian dibuka,” katanya.

RSN Rayer kemudian menempelak kenyataan itu dan membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (4) dengan menyatakan Shahidan biadap dan telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan kurang sopan.

“Dia (Shahidan) mengatakan bahawa Parlimen ini tiada ‘standard’. Kamu seorang Ahli Parlimen. Kamu nak bahas untuk menyatakan satu fakta tak puas hati nyatakan tapi jangan jatuhkan maruah Parlimen ini. Ini institusi Parlimen yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, malulah Arau,” tempelaknya.

Suasana bertukar menjadi semakin tegang apabila Shahidan secara tiba-tiba menyamakan situasi tersebut dengan Dasar Aparteid apabila kerajaan dianggap membeza-bezakan antara Ahli Pembangkang dan Barisan Kerajaan.

Beliau turut meminta sokongan Ahli Parlimen lain untuk membahagikan perkhidmatan Pusat Parlimen bagi memastikan institusi tersebut bertaraf dunia.

“Saya pergi di Azerbaijan, Baku, saya bangun berucap puji PMX (Perdana Menteri). Saya puji, saya orang yang pertama puji PMX di luar negara, seramai 56 negara mendengar saya berucap puji PMX di luar negara saya pertahan. Tapi dalam negara saya sebut bahawa kita mesti berlaku adil.

“Ini bukan Dasar Aparteid Ini ialah Kerajaan Perpaduan Madani. Mamdani (Datuk Bandar) di New York bagus, Madani di Malaysia….,” ujar Shahidan sambil menunjukkan isyarat tanda bagus.

Shahidan juga sempat meminta RSN Rayer jangan menyibuk dan memberi laluan semua Ahli Pembangkang untuk membahas di dalam Dewan Rakyat.

Suasana tersebut akhirnya diredakan apabila Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau mengarahkan RSN Rayer untuk menghantar usul sebelum meminta sesi perbahasan diteruskan semula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |