Restoran mewah tingkat 57 Menara 3 KLCC terbakar 30 peratus

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Kebakaran di Menara 3 KLCC memusnahkan kira-kira 30 peratus kawasan sebuah restoran mewah yang terletak di tingkat 57 bangunan berkenaan, di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.41 pagi.

“Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur telah menghantar jentera dari BBP Tun Razak dan Hang Tuah melibatkan 35 pegawai serta anggota ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba bertindak masuk ke bangunan secara ofensif menggunakan lif bomba dan sistem pemadaman jenis wet riser bagi mengawal api,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.04 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 8.45 pagi.

“Tiada mangsa terlibat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Kebakaran dianggarkan melibatkan 30 peratus kawasan restoran tersebut.

“Cabaran utama ialah lokasi kejadian di tempat tinggi, namun sistem keselamatan kebakaran bangunan berfungsi dengan baik,” ujarnya.

Tambah beliau, kawasan kejadian ditutup sementara bagi tujuan keselamatan sebelum dibuka semula dan diserahkan kepada pasukan penyiasat.

“Restoran berkenaan akan ditutup buat sementara waktu sehingga siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur selesai dijalankan,” katanya.

Terdahulu,Kosmo! melaporkan, tular video di media sosial berkaitan insiden kebakaran yang dilaporkan berlaku di bahagian atas Menara 3 KLCC awal pagi tadi, dipercayai membabitkan premis makanan dan minuman mewah yang terletak di bangunan itu.

Menerusi video tular di media sosial, insiden terbabit menunjukkan api marak di bahagian atas bangunan sebelum berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |