Remaja dicekup sembunyikan janin kekasih dalam kereta

5 hours ago 5

MELAKA – Tindakan seorang remaja lelaki menyembunyikan janin kekasihnya di dalam sebuah kereta sebelum merancang untuk menanamnya di belakang rumah terbongkar selepas dia dicekup polis, bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kes itu merupakan yang kedua direkodkan tahun ini melibatkan tindakan menyembunyikan kelahiran selepas penemuan rangka bayi dalam satu kejadian berasingan pada Mac.

“Kes terbaharu dikesan selepas pihak kami menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Melaka pada 25 April, kira-kira 6.50 petang melibatkan seorang pesakit perempuan berusia 17 tahun 10 bulan dalam keadaan berlumuran darah.

“Remaja terbabit dipercayai mengalami keguguran kandungan berusia 22 minggu selepas mengambil pil gugur dan berlaku pendarahan kerana uri tidak berjaya dikeluarkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, remaja perempuan itu kemudian memberitahu bahawa janin yang dikeluarkan tidak bernyawa dan telah ditanam oleh teman lelakinya di lokasi tidak diketahui.

“Hasil siasatan suspek lelaki berusia 18 tahun telah mengambil janin tersebut di rumah teman wanitanya dan menyembunyikannya terlebih dahulu di dalam sebuah kereta Honda City miliknya.

“Dia dipercayai merancang untuk menanam janin tersebut di belakang rumahnya, namun belum sempat berbuat demikian kerana telah ditahan polis,” ujarnya.

Katanya, remaja perempuan terbabit turut ditahan selepas selesai mendapatkan rawatan dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Melaka sebelum mendapat arahan untuk menuduh suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, manakala suspek perempuan di bawah Seksyen 315 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Kosmo! pada 25 Mac melaporkan pasukan polis menemui rangka seorang bayi yang ditanam di hadapan laman sebuah rumah di Kelemak, Alor Gajah.

Dzulkhairi berkata, susulan penemuan itu lima individu ditahan iaitu seorang remaja perempuan, ibunya, kakak dan adik lelaki serta teman lelakinya. Bayi tersebut dipercayai ditanam oleh keluarganya sendiri kira-kira empat bulan lalu.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |