RCEP bantu lonjak ekonomi negara serantau – Ismail Sabri

1 month ago 30

PETALING JAYA – Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mempunyai potensi besar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, inovasi, dan kesalinghubungan di rantau Asia Pasifik.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemajuan dicapai dalam bidang tersebut akan memberi kesan langsung kepada perniagaan, komuniti dan ekonomi di seluruh rantau tersebut.

Malah katanya, melalui perbincangan yang diadakan, kedua-dua pihak telah meneroka perkara yang kritikal seperti kemudahan perdagangan, daya tahan rantaian bekalan, transformasi digital dan pembangunan mampan.

“Ini bukan sahaja idea asas tetapi keutamaan yang boleh diambil tindakan untuk membina kerjasama China-ASEAN.

“Sebagai contoh dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, eksport ke negara-negara RCEP menyumbang 29 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, mencecah kira-kira RM203 juta.

“Statistik ini menonjolkan keupayaan perjanjian ini untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pergantungan kepada satu rantau sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Forum China-RCEP di Shanghai, China semalam.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman melibatkan syarikat Malaysia iaitu Ireef Farmpool Sdn Bhd, Naturale Recreation Management Sdn Bhd dan Malaysian Aquaculture Group Holdings Berhad, dengan firma China, Hainan Zhanyu Biotechnology Co Ltd.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, dengan mengukuhkan hubungan perdagangan dalam Asia Pasifik, Malaysia bukan sahaja melindungi dirinya daripada potensi gangguan bekalan tetapi juga mencipta peluang baharu untuk mempelbagaikan eksport dan meningkatkan kerjasama industri.

“RCEP meningkatkan akses kepada pasaran besar seperti China, yang mempunyai populasi 1.41 bilion, serta Indonesia dengan 275 juta penduduknya.

“Oleh itu, integrasi ekonomi ini boleh memberikan manfaat besar kepada kita semua dalam menangani kerumitan perdagangan global, terutama dalam konteks ketidakstabilan di Timur Tengah dan Eropah Timur,” katanya.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, melibatkan 15 negara di rantau Asia Pasifik.

Ahlinya termasuk 10 negara Asean iaitu Malaysia serta lima rakan serantau China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |