KUALA LUMPUR – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel berjaya menurunkan kadar ketirisan bahan api itu termasuk yang disebabkan oleh aktiviti penyeludupan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, perkara itu terbukti apabila data tahun lalu menunjukkan transaksi penjualan diesel mencatatkan pengurangan.
Menurut beliau, statistik penjualan adalah kira-kira 465 juta liter diesel antara Jun hingga Disember 2024 berbanding kira-kira 770 juta liter dari Januari hingga Mei tahun lalu.
“Terdapat perbezaan dalam perbandingan jualan diesel dalam tempoh lima bulan sebelum dan selepas. Jualan diesel secara komersial juga meningkat selepas rasionalisasi subsidi.
“Ini bermakna sebelum ini terdapat kegiatan pembelian diesel bersubsidi yang mungkin digunakan bagi tujuan komersial tempatan antaranya mesin dan janakuasa elektrik di tapak pembinaan atau kilang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung jualan diesel susulan rasionalisasi subsidi di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan asal Chieng Jen, Hui Ying berkata, sehingga 31 Oktober 2025, 320,000 pemilik kenderaan persendirian diesel, petani, penternak dan pekebun kecil telah mendapat manfaat dengan jumlah bayaran sebanyak RM850 juta.
Jelas beliau, mereka menerima manfaat dibawah program Budi Madani Individu dan Budi Madani Agri-Komoditi iaitu bantuan tunai RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada individu pemilik kenderaan diesel persendirian, golongan petani dan pekebun kecil.
“Bagi segmen kenderaan pengangkutan darat barangan di bawah Program Budi Madani Diesel sehingga 30 September
2025, sejumlah 121,618 buah syarikat kenderaan barangan dengan 355,074 buah kenderaan telah diluluskan penggunaan ‘fleet card’
“Langkah ini dapat memastikan kos operasi sektor logistik tidak meningkat secara mendadak dan barangan keperluan kekal pada harga berpatutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
12

















































