PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi rasa kecewa dan penat menanggung beban keluarga seorang diri, walaupun memiliki tiga anak dan pernah bergaji RM5,000 sebulan.
Dalam perkongsiannya di media sosial, wanita berusia 34 tahun itu mengakui tidak mempunyai sebarang pencapaian termasuk memiliki emas, kereta atau rumah sendiri.
Katanya, wang gajinya dahulu habis digunakan untuk membayar sewa rumah, bil utiliti, yuran taska, tuisyen anak, makanan dan perbelanjaan harian termasuk pesanan melalui dalam talian.
“Rasa gagal. Umur 34 anak tiga. Terakhir gaji RM5,000. Tapi tak ada achievement (pencapaian) apa-apa.
“Sekarang tak kerja masuk empat bulan sebab penat sangat. Tapi dugaan lain pula. Ada orang tak suka kena tanggung keluarga seorang diri,” kongsinya di Threads.
Walaupun wanita ini menanggung sebahagian besar perbelanjaan rumah, dia menegaskan bahawa tidak pernah meminta bantuan orang lain.
Namun, katanya selepas tidak bekerja, dia hanya meminta pasangannya membayar rumah sewa dan bil utiliti yang merupakan tanggungjawab seorang suami serta bapa.
“Tinggal bayar sewa penuh dan makan je. Yang lain saya bayar pakai simpanan saya, sikit pun tak minta. Aku tertanya macam mana la suami lain boleh reda isteri tak kerja,” ujarnya.
Perkongsian wanita itu turut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial dan ada yang meluahkan nasib sama apabila terpaksa mengambil alih tugas ketua keluarga sedangkan si suami hanya duduk di rumah.
“Bertahun dah menanggung 90 peratus belanja rumah. Saja biarkan sebab nak bagi dia (suami) menyala dalam neraka. Serabut…ya hidup dengan orang begini. Pantang buka mulut, dicakapnya kita tak bersyukur, disuruhnya kita belajar,” kata Athirah.
Selain itu, ada juga pengguna yang kasihan dengan nasib wanita tersebut apabila perlu menanggung sepenuhnya keperluan keluarga sehingga lupa untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas penat bekerja.
“Perempuan gaji RM5,000 tapi tak ada apa-apa pencapaian? Nampak sangat selama ini awak yang banyak tanggung keluarga,” komen Cik_akied. – KOSMO! ONLINE

2 weeks ago
16

















































