PETALING JAYA – Di sebalik kemusnahan bangunan serta penindasan berterusan di Gaza, ratusan pesakit terpaksa bertarung nyawa setiap hari hanya untuk mendapatkan rawatan dialisis yang menjadi nadi kelangsungan hidup mereka.
Kemudahan kesihatan yang rosak, kekurangan bekalan perubatan serta gangguan elektrik berterusan menjadikan rawatan asas itu satu perjuangan harian dan sekiranya mereka gagal mendapatkan sesi dialisis tepat pada waktunya, nyawa pesakit boleh melayang bila-bila masa.
Menerusi hantaran media sosial, Sukarelawan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), sistem kesihatan di Gaza kini berada pada tahap paling kritikal dengan hanya sebahagian kecil mesin dialisis masih berfungsi akibat kerosakan dan kekurangan alat ganti.
“Dengan sistem kesihatan yang berada di bawah tekanan luar biasa, setiap mesin dialisis yang berfungsi bermakna satu lagi nyawa dapat diselamatkan,” kata hantaran itu.
Menurut organisasi kemanusiaan itu, awal tahun ini, Pasukan Penjagaan Khusus 5 (SCT 5) Mercy Malaysia dikerahkan bagi memulihkan serta menaik taraf wad dialisis di beberapa hospital tempatan.
“(Ia bagi) memastikan pesakit dapat terus menerima rawatan penting tersebut.
“Hari ini, SCT 6 meneruskan impak itu dengan mengekalkan operasi, menyokong pasukan perubatan tempatan dan membantu lebih ramai pesakit mendapatkan akses kepada rawatan dialisis yang konsisten dan menyelamatkan nyawa setiap hari,” jelasnya.
Mercy Malaysia turut menegaskan komitmen mereka untuk terus membantu memulihkan perkhidmatan kesihatan di Gaza dan memastikan penduduknya tidak terhalang daripada hak mendapatkan rawatan asas.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan rakyat Malaysia meluahkan rasa bangga dan terharu apabila menyaksikan pasukan doktor tempatan terus menabur bakti di Gaza melalui misi kemanusiaan yang dijalankan Mercy Malaysia.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, kelihatan sukarelawan perubatan Malaysia menjalankan pembedahan serta membantu mangsa yang cedera akibat serangan di Gaza.
Antara bantuan yang diberikan adalah pembedahan dan rundingan ortopedik, rawatan dialisis serta penjagaan ibu dan anak di Hospital Al-Shifa. – KOSMO! ONLINE

18 hours ago
4





![[VIDEO] ‘Tuala wanita punya pasal..tahi di sana, tahi di sini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.19.13-PM.jpeg)
![[VIDEO] ‘Dengan kami pun terikut baca doa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-07-at-5.00.29-PM.jpeg)










































