Rakyat Thai, Jepun keluar mengundi

20 hours ago 5

BANGKOK – Lebih 50 juta rakyat Thailand keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya mengejut yang diadakan susulan pergolakan kepimpinan selama berbulan-bulan dan politik gabungan yang rapuh di negara itu, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA). 

Kira-kira 2.3 juta orang mengundi buat kali pertama, manakala undian tersebut akan melantik perdana menteri keempat Thailand dalam masa cuma tiga tahun.

Perdana Menteri Interim, Anutin Charnvirakul membubarkan Parlimen pada 12 Disember tahun lalu di tengah-tengah undi tidak percaya yang diketuai oleh Parti Rakyat. Ia menyebabkan pengundi kembali mengundi kurang tiga tahun selepas pilihan raya umum 2023.

Tiga parti dijangka mendominasi pilihan raya tersebut iaitu Bhumjaithai, Pheu Thai dan Parti Rakyat.

Isu-isu utama yang dipaparkan dalam kempen pilihan raya termasuk kos sara hidup, pemulihan ekonomi dan pembaharuan politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand berkata, proses pengundian awal kebanyakannya berjalan lancar di seluruh negara, namun kebanyakan pengundi akan membuang undi hari ini di 100,000 pusat pengundian seluruh negara yang akan dibuka dari pukul 8 pagi (waktu tempatan) hingga 5 petang (waktu tempatan).

Keputusan awal tidak rasmi dijangka diumumkan lewat malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya mesti mengesahkan kiraan undi dan mengisytiharkan keputusan rasmi dalam tempoh 60 hari selepas hari pengundian iaitu sebelum 9 April.

Sementara itu, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, berjuta-juta rakyat Jepun turut mengundi dalam pilihan raya mengejut hari ini.

Parti gabungan Perdana Menteri, Sanae Takaichi diramalkan meraih kemenangan muktamad.

Hanya beberapa bulan selepas beliau dipilih oleh ahli Parlimen untuk menjawat jawatan itu, Takaichi memutuskan untuk mengadakan pilihan raya bagi mendapatkan mandat orang ramai.

Tinjauan menunjukkan gabungan Parti Liberal Demokrat (LDP) pimpinan beliau dengan Parti Inovasi Jepun boleh memenangi sehingga 300 daripada 465 kerusi di Dewan Rakyat. Ia menandakan pemulihan untuk LDP yang kehilangan kawalan kedua-dua dewan Parlimen Jepun tahun lepas.

Pemimpin konservatif itu telah memenangi hati sesetengah pengundi dengan menawarkan pemotongan cukai dan subsidi, tetapi pengkritik mengatakan ia akan memberi tamparan hebat kepada ekonomi Jepun yang lembap.

Pemerhati mengatakan bahawa populariti peribadi Takaichi mungkin membantu meningkatkan prestasi LDP dalam pilihan raya kali ini. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |