Puteri Balqis bernafas dalam tiub

3 weeks ago 20

PONTIAN – Sepasang suami isteri buntu apabila memikirkan nasib anak sulung mereka yang dilahirkan pada 12 Februari lalu kerana menghidapi pelbagai masalah kesihatan seperti saluran pernafasan sempit, jantung berlubang dan tiroid.

Menurut bapanya, Mohd. Hanafi Musa, 37, bayi perem­puannya, Puteri Balqis, tujuh bulan terpaksa menggunakan saluran getah bagi membantu pernafasan.

Katanya, bayi itu merupakan anak sulung bersama isterinya, Zuraidah Hassan, 40, seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak sebelum ini.

“Anaknya ditempatkan selama enam bulan di Hospital Sultanah Aminah HSA, Johor Bahru dan dibenarkan balik bulan lalu.

“Sebelum dibenarkan pulang, pihak hospital perlu memastikan bayinya mendapatkan mesin bantuan pernafasan yang disambung ke mulut anaknya itu.

“Alhamdulillah, pejabat Baitumal Pontian menyumbangkan peralatan tersebut yang berharga RM9,000,” katanya di rumah­nya di Lorong Haji Nasir, Api-Api, Parit 4, di sini semalam.

Katanya, dia risau memikirkan wang perbelanjaan untuk rawatan anaknya itu meman­dangkan dia hanya bekerja sebagai nelayan dan tiada pendapatan lain, manakala isterinya yang
sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Pontian Besar tidak lagi be­kerja kerana perlu menjaga anak mereka.

“Pendapatan saya tidak menentu, kadangkala pulang ta­ngan kosong, kadang-kadang dapat antara RM100 hingga RM150 sehari,” ujarnya.

Katanya, Puteri Balqis perlu mendapatkan rawatan susulan di HSA yang memerlukan kos tambang kerana dia tiada kenderaan untuk perjalanan ke sana.

“Anak saya juga memerlukan susu khas berharga RM22 bagi 800 gram yang bertahan selama dua minggu selain lampin pakai buang seperti bayi lain,” ujarnya.

Katanya, saluran getah yang disambung dari mesin ke mulut anaknya berharga RM760 yang sepatutnya ditukar enam bulan sekali.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh ­menghubungi Mohd. Hanafi Musa di talian 011-3652 4480 atau menyumbang melalui akaun Maybank (551025226043).

Read Entire Article
Pertanian | | | |