SHAH ALAM – Pembukaan Pusat Pengedaran Mega Maersk (MMDC) di Shah Alam memperkukuh ekosistem logistik sekali gus menjadikan Malaysia menghampiri menjadi pintu gerbang logistik utama di Asia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemudahan bertaraf dunia itu amat strategik kerana lokasinya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kawasan perindustrian utama dan jaringan lebuh raya utama negara.
“Pelaburan ini sangat penting dalam meningkatkan kapasiti logistik negara. Sudah tentu, sokongan logistik merupakan faktor utama kepada pembangunan ekonomi kita.
“Dengan adanya kemudahan seperti ini, lebih ramai pelabur akan tertarik untuk melabur dalam bidang aeroangkasa, peruncitan, elektronik dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan pusat tersebut di sini, hari ini.
MMDC seluas kira-kira 180,000 meter persegi berfungsi sebagai pusat pelbagai pelanggan yang direka khas untuk mengendalikan pelbagai jenis barangan seperti industri dan perkhidmatan barangan pengguna, makanan dan minuman, pakaian dan kasut.
Anthony Loke berkata, syarikat perkapalan gergasi itu memainkan peranan besar dalam ekonomi Malaysia kerana turut memiliki kerjasama strategik dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas yang menjadi hab global bagi aktiviti perkapalan Maersk.
“Maersk mempunyai rangkaian luas dan pusat pengedaran di seluruh negara. Namun, kemudahan di Shah Alam ini adalah yang terbesar bukan sahaja di Malaysia malah di dunia bagi Maersk” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, pihaknya akan meneroka kerjasama dengan Maersk atau pelabur lain dalam mendirikan fasiliti sama di lokaliti lain di negara ini.
“Kita mahu pastikan pembangunan industri tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
“Strategi kita adalah untuk mengimbangi pertumbuhan di seluruh negara contohnya di utara seperti Pulau Pinang dan Kedah, selatan di Johor, serta pantai timur melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Malah, Sabah dan Sarawak juga mempunyai potensi besar yang sedang dipelopori,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan kemudahan logistik dan pelbagai mod pengangkutan termasuk rel di seluruh negara akan terus diperkasa bagi menyokong pertumbuhan industri dan pelaburan baharu. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7











![[VIDEO] Isteri Prince Syed masuk hospital tiada kaitan komplikasi bariatrik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Dr.-Abdul-Gafoor-ketika-mengulas-mengenai-keadaan-Fatin-Syazwani-di-TikToknya-semalam..jpeg)





![[VIDEO] Pengawal sekolah dirai besar-besaran pada majlis persaraan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-oleh-@Kak-Rock-Laa-di-laman-TikTok.jpeg)






























