‘Pura-pura kuat, malam berdenyut sana sini’

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Bekas penyampai radio popular, Kieran memaklumkan semakin pulih selepas menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi akibat kanser prostat.

Menurut Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran, 50, meskipun masih berdepan kesan sampingan seperti bengkak dan otot lemah, tubuhnya kini tidak lagi selemah dahulu.

Malah katanya, selepas pembedahan dan kimoterapi, sel kanser dalam tubuhnya berkurangan namun sakit-sakit badan masih menyerang terutama waktu malam.

“Siang nampak macam tak ada apa tapi bila malam berdenyut sana sini. Nak bangun pun rasa macam orang tua.

“Tangan saya masih bengkak, tak boleh pegang barang lama-lama, memandu jauh pun tak mampu. Saya pura-pura kuat dan macho. Memandu dalam KL saya gagahkan juga,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Kieran lagi, dia menerima banyak tawaran perubatan alternatif daripada orang ramai selepas kisahnya tular namun menolak atas nasihat doktor.

“Setakat ini tiada rujukan ubat luar sebab doktor sudah pesan awal-awal jangan campur rawatan. Saya faham niat mereka, tapi mungkin apa yang serasi pada mereka tak sesuai untuk saya.

“Biasanya saya tolak secara baik, takut terguris hati orang,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Terbaek Raya anjuran mStar, semalam.

Melalui transisi rutin, Kieran mengakui kehidupannya kini berubah sepenuhnya malah membosankan apabila tidak lagi dapat melakukan aktiviti lasak termasuk bersukan seperti dahulu.

“Dulu saya joging seminggu lima kali, main bola dan badminton dua kali seminggu. Sekarang dah setahun saya tak buat semua itu.

“Hidup saya sangat membosankan. Duduk rumah saja. Kalau berdiri lama pun tak larat. Jadi saya ikut isteri jual kek. Kalau tak buat apa, badan jadi lembik,” dedahnya

Kieran merupakan antara enam penerima bantuan menerusi program mStar Baek musim ketiga dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad.

Beliau juga bersyukur menerima kad perubatan yang membolehkannya menjalani 12 sesi rawatan di fasiliti kesihatan KPJ.

“Apa yang mereka beri sangat membantu orang macam kami yang tiba-tiba ditimpa musibah. Terima kasih mStar dan KPJ,” jelasnya.

Turut menerima bantuan ialah Fendy Caliph Buskers, Azman Adnan, pelakon Ebby Yus, atlet para Nurul Shakina Abdullah Teh dan Mohammad Saad Habizal. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |