GEORGE TOWN – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Program Pembentukan Karakter yang dilaksanakan di peringkat pra sekolah tahun depan bukanlah bersifat tergesa-gesa malah merupakan komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam membentuk sahsiah dan keperibadian murid.
Menurutnya, program yang diperkenalkan itu bukanlah satu subjek baharu sebaliknya akan diterapkan dalam semua sesi pelajaran seperti Sains, bahasa Inggeris, Matematik dan sebagainya.
“Ia (Program Pembentukan Karakter) adalah sebahagian besar daripada yang kita sebut sebagai merentas semua disiplin ataupun subjek. Jadi pembentukan karakter ini adalah pendekatan kita untuk meneguhkan kembali soal nilai, karakter, adab dan akhlak anak-anak yang pastinya sekarang ini menjadi tumpuan semua pihak.
“Jadi, ia akan berlaku dalam semua subjek. Kalau cikgu sains akan bercakap tentang pembentukan karakter dalam bidang sains, cikgu bahasa Inggeris boleh melakukan pembentukan karakter dalam kelas bahasa Inggeris dan begitu juga dengan guru-guru yang lain,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil di Institut Pendidikan Guru, Kampus Pulau Pinang di sini, hari ini.
Katanya lagi, KPM akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kokurikulum baharu ini dengan penglibatan beberapa komuniti, kementerian, dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Saya tidak fikir ia dilakukan secara tergesa-gesa kerana soal pembentukan karakter ini adalah komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang tahun, sepanjang zaman dan sepanjang Kementerian ini wujud.
“Pembentukan karakter ini adalah soal teras dan sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Jadi jangan risau, bagi ruang untuk perjalanan kurikulum baharu. Jadi saya mohon untuk kita bagi ruang kepada guru-guru, kepada anak-anak kita untuk melakukan pembentukan karakter ini untuk kurikulum baharu 2026 ini bermula tahun hadapan,” ujarnya.
Terdahulu, KPM memperuntukkan masa khusus selama 60 minit seminggu bagi pelaksanaan Program Pembentukan Karakter di sekolah rendah dan menengah di dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
KPM dalam kenyataan dilaporkan berkata, program itu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan untuk membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus.
Sebelum itu, Fadhlina memberitahu Dewan Rakyat bahawa subjek Pembentukan Karakter akan diperkenalkan mulai tahun depan ke arah usaha memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
4

















![[VIDEO] ‘Masalahnya koko hari Rabu bukan hari Jumaat bang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-02-at-2.32.34-PM.jpeg)































