Premis simpan 870kg minyak masak peket kena tindakan

1 month ago 33

LUMUT – Sebuah premis di Sitiawan dekat sini dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) gara-gara menyimpan 870 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg melebihi had yang dibenarkan.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung pada pukul 1.30 petang semalam.

Menurut beliau, kes terhasil melalui satu pemeriksaan yang dilaksanakan setelah menerima aduan awam yang mendakwa terdapat aktiviti penjualan minyak masak peket 1kg secara borong di tingkat atas sebuah premis perniagaan di Sitiawan.

“Pemantauan dan risikan awal mendapati premis adalah sebuah rumah kedai dua tingkat yang menjalankan perniagaan menjual barangan runcit.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis mendapati kedai runcit ini mempunyai Lesen CSA Runcit bagi gula, minyak masak dan tepung gandum yang masih sah dengan had kuantiti simpanan sebanyak 500kg bagi setiap jenis barang kawalan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas premis telah menemui minyak masak peket 1kg bersubsidi pelbagai jenama sebanyak 870kg dan minyak masak kemasan botol pelbagai jenama sebanyak 87kg yang diletakkan dalam satu ruangan tangga yang disyaki dijadikan stor simpanan premis terbabit.

Menurut beliau, jumlah minyak masak yang ditemui itu adalah melebihi had yang dibenarkan dalam lesen.

“Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis akur dan faham tindakan yang dilaksanakan oleh KPDN.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu peruncit memiliki barang kawalan melebihi had yang dibenarkan Pengawal di dalam lesen,” katanya.

Kamalludin memberitahu, kesemua minyak masak tersebut telah disita dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM4,567.50 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |