PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), memperkenalkan aplikasi perancang perjalanan MyRapid PULSE baharu, yang bakal memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam kendaliannya.
Prasana dalam kenyataan berkata, aplikasi baharu itu akan menggantikan versi terdahulu yang ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Mei 2025.
Katanya, pengenalan versi baharu ini menandakan langkah berterusan Prasarana dalam usaha meningkat pengalaman perjalanan harian pengguna rel dan bas.
“Selain memberi manfaat kepada penumpang harian, pengenalan aplikasi ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pemangkin utama dalam memperkasa sektor pelancongan negara, dengan memudahkan pelancong, terutamanya dari luar negara merancang perjalanan mereka dengan lebih lancar.
“Antara ciri utama dalam aplikasi ini termasuk fungsi navigasi perancang perjalanan yang lebih mudah dan mesra pengguna, serta pengenalan ciri ‘Explore City’ atau ‘Jelajah Bandar’, yang membantu pengguna mengenal pasti lokasi-lokasi menarik di sekitar Lembah Klang berdasarkan kategori seperti mercu tanda pelancongan dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, MyRapid PULSE bukan sekadar aplikasi perancang perjalanan, malah ianya direka sebagai pelengkap gaya hidup moden yang menitikberatkan kesalinghubungan, penerokaan, ganjaran gaya hidup serta kemudahan harian, khusus untuk pengguna pengangkutan awam sama ada untuk tujuan ulang-alik harian mahupun pengembaraan menjelajah bandar.
“Aplikasi ini turut memperkenalkan ciri ‘Rewards & Promotions’ atau ‘Ganjaran & Promosi’ yang memberikan lebih nilai tambahan kepada pengguna berdaftar. Melalui kerjasama dengan jenama-jenama runcit dan gaya hidup terpilih, pengguna boleh menikmati pelbagai tawaran eksklusif seperti diskaun pembelian dan promosi khas di outlet-outlet terpilih.
“Selaras dengan slogan Prasarana iaitu ‘Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman’,
aplikasi ini diharap dapat membantu semua pengguna, khususnya pelancong dan pengguna kali pertama untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya.
Katanya, Prasarana menggalakkan semua pengguna untuk memuat turun aplikasi MyRapid PULSE versi baharu di Google Play Store dan Apple App Store untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan terkini dan menikmati sepenuhnya segala ciri yang ditawarkan. – KOSMO! ONLINE