KOTA BHARU – Persatuan Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan menafikan dakwaan yang mengatakan institusi pondok di negeri ini menjadi tumpuan pengasas produk menjalankan kegiatan pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit selain pusat penyebaran ajaran sesat.
Resolusi dan penafian itu dicapai menerusi mesyuarat khas persatuan berkenaan berkait dakwaan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat yang diadakan di Pondok Pasir Tumboh, di sini hari ini.
Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr. Muna Hamzan berkata, kenyataan tersebut telah menimbulkan salah faham dan persepsi negatif masyarakat terhadap peranan sebenar institusi pondok yang sekian lama menjadi pusat penyebaran ilmu di negeri ini.
“Walaupun tidak menolak kemungkinan ada segelintir pihak menyalahgunakan nama pondok, ia perlu disiasat secara telus dan adil tanpa membabitkan keseluruhan institusi ini. Majoriti pondok di Kelantan beroperasi dengan sumber kewangan yang amat terhad dan tidak menerima sebarang peruntukan khas daripada kerajaan. Pelajar pula terpaksa menanggung sendiri kos pengajian sepanjang berada di pondok.
“Ini jelas menunjukkan bahawa pelajar pondok tergolong dalam kalangan mustadh’afin (orang yang ditindas) atau golongan kurang berkemampuan yang menimba ilmu kerana Allah SWT semata-mata, bukannya untuk keuntungan duniawi,” katanya ketika ditemui di Pondok Pasir Tumboh, di sini hari ini.
Muna memberitahu, institusi pondok di Kelantan mempunyai sejarah panjang sejak abad ke-18 sebagai benteng pertahanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak serta identiti masyarakat Islam tempatan.
“Kami melahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Ketua Polis Kelantan baru-baru ini yang menunjukkan institusi pondok sebagai lubuk aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, ada dalam kalangan pengasas produk di negara ini menjadikan sekolah pondok atau madrasah pengajian yang tidak berdaftar di Kelantan sebagai lokasi pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit dengan alasan memberi sumbangan untuk saham akhirat. – KOSMO! ONLINE

17 hours ago
5

















![[VIDEO] ‘Masalahnya koko hari Rabu bukan hari Jumaat bang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-02-at-2.32.34-PM.jpeg)































