LONDON – Herve Poncharal mengucapkan selamat tinggal kepada pentas perlumbaan MotoGP selepas lebih tiga dekad menerajui pasukan Tech3, sekali gus menamatkan perjalanan panjang dalam sejarah perlumbaan kelas perdana itu.
Poncharal, 66, yang menubuhkan Tech3 pada 1990, akan mengakhiri tugas sebaik perlumbaan terakhir musim ini di Valencia sebelum pasukan berkenaan beralih kepada pemilikan baharu diketuai bekas prinsipal pasukan Formula Satu (F1) Haas, Guenther Steiner tahun depan.
Tech3 memulakan penyertaan dalam kelas 250cc dan mencipta kejayaan pada 2000 apabila Olivier Jacque muncul juara dunia, setahun selepas memeterai kerjasama bersama Yamaha.
Pada 2001, pasukan itu melangkah ke saingan MotoGP sebagai skuad satelit Yamaha dan kekal di bawah struktur tersebut sehingga 2018 sebelum memulakan era baharu bersama KTM bermula 2019.
Kerjasama dengan pengeluar Austria itu mencapai kejayaan paling manis pada 2020 menerusi dua kemenangan Grand Prix oleh Miguel Oliveira, termasuk satu di Portugal yang kini menjadi perlumbaan di mana Poncharal memulakan detik perpisahannya.
“Grand Prix sudah menjadi hidup saya hampir 50 tahun. Apabila anda mencurahkan seluruh hati dan tenaga untuk sesuatu, sudah tentu sukar untuk mengucapkan selamat tinggal,” katanya.
Beliau turut mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta beberapa kali menghubunginya mengenai perpisahan dalam perlumbaan MotoGP.
“Beliau berkata kepada saya, kamu bukan sekadar rakan, kamu saudara saya. Ucapan itu sangat menyentuh saya terutama penglibatan dalam perlumbaan MotoGP ,” jelas Poncharal.
Walaupun mengakui aksi penutup musim di Valencia bakal sarat dengan pelbagai emosi, Poncharal berharap penamat itu tetap diraikan dengan senyuman.
“Saya mahu hari terakhir itu penuh rasa syukur, walaupun saya tahu hati ini pasti berat untuk melepaskannya,” ujarnya.
Selepas lebih tiga dekad membina nama Tech3 ke pentas kemenangan MotoGP, Poncharal meninggalkan legasi besar terutama daripada mekanik kepada tokoh yang disegani dalam sejarah kejuaraan dunia. – AGENSI

6 hours ago
4









![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)







































