KUANTAN – Polis sedang giat mengesan seorang wanita yang mendakwa akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan diteruskan termasuk mengesan suspek.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita dalam siasatan dan di bawah fitnah kena ada prosedur (dalam melakukan siasatan),”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan Istana Pahang menafikan dakwaan seorang wanita melalui media sosial Instagram yang mendakwa dia akan melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Istana Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahaya dilaporkan berkata, pihak istana menafikan sebarang istiadat perkahwinan Diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada April tahun hadapan.
Katanya, Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama dan meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuatnaik selain daripada Portal Rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube menggunakan nama Istana Pahang.
Hantara di laman media sosial Instagram yang dimuatnaik sendiri oleh pengguna platform dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu menyaksikan wanita berkenaan ‘menerangkan’ berkenaan majlis perkahwinannya bersama Tengku Mahkota Pahang.
Menurut hantaran di story Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada bulan April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya. -KOSMO! ONLINE.