PN mengumumkan bakal bertanding di 41 kerusi DUN pada PRN17 Sabah. Foto: IVAN AMIRUL/KOSMO!
- Oleh IVAN AMIRUL
- 11 November 2025, 6:01 pm
PENAMPANG – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bakal bertanding di 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Menerusi keseluruhan jumlah kerusi ditandingi, 90 peratus adalah muka baharu yang terdiri 30 peratus calon muda.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua calon yang dipilih sudah melalui proses tapisan menyeluruh termasuklah lima atau kira-kira 15 peratus terdiri calon wanita.
”Walaupun muka baharu, namun masing-masing calon memiliki rekod yang agak baik dan cemerlang sama ada dari segi profesion mereka.
”Sebahagian besar umur masih muda dan mereka semua ialah calon yang betul-betul berkelayakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon PN Sabah hari ini.
Muhyiddin menjelaskan, daripada jumlah itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diagihkan sebanyak 33 kerusi, Pas sebanyak lima, manakala Gerakan (tiga).
Antara kerusi ditandingi termasuklah Banggi, Bengkoka, Tanjung Kapor, Pintasan, Sulaman, Pantai Dalit, Karambunai, Darau, Luyang dan Tanjong Aru.-KOSMO! ONLINE.

2 weeks ago
21

















































