PM India anggap letupan di Delhi ‘konspirasi’

2 weeks ago 19

NEW DELHI – Perdana Menteri Narendra Modi hari ini menyifatkan letupan kereta di pusat bandar New Delhi yang membunuh sekurang-kurangnya lapan orang sebagai ‘konspirasi’ dan berjanji akan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Polis masih belum memberikan butiran tepat mengenai punca letupan semalam berhampiran Red Fort yang merupakan salah satu mercu tanda India paling terkenal.

Ia adalah insiden keselamatan serius pertama sejak 22 April lalu apabila 26 orang awam dengan kebanyakan mereka penganut Hindu, terbunuh di tapak pelancongan Pahalgam, wilayah Kashmir ditadbir India sehingga mencetuskan pertempuran dengan Pakistan.

“Saya memberi jaminan kepada semua orang bahawa agensi-agensi kami akan menyiasat keseluruhan konspirasi ini.

“Semua yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan,” kata Modi dalam ucapan semasa lawatan ke negara jiran, Bhutan tanpa memberikan butiran lanjut.

Sekurang-kurangnya 19 orang turut cedera apabila api menyambar beberapa kenderaan berhampiran.
Letupan semalam berlaku beberapa jam selepas polis India berkata, mereka telah menahan sekumpulan individu dan merampas bahan letupan serta raifal.

Menurut polis, semua lelaki yang ditahan mempunyai kaitan dengan Jaish-e-Mohammed iaitu kumpulan berpangkalan di Pakistan dan Ansar Ghazwat-ul-Hind yang bergiat di Kashmir.

Kedua-dua kumpulan disenaraikan sebagai organisasi pengganas di India.

Dalam pada itu, beberapa saksi memberitahu AFP bahawa kereta itu meletup semasa kesesakan lalu lintas, menyebabkan orang ramai terperangkap dalam gelombang api.

“Saya melihat kereta itu meletup semasa ia bergerak,” kata Dharmindra Dhaga, 27.

“Orang di sekeliling terbakar dan kami cuba menyelamatkan mereka. Kereta dan orang sedang terbakar. Mangsa berada di dalam kereta-kereta bersebelahan,” katanya. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |