KOTA TINGGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus membantu rakyat termasuk warga Felda dalam mendepani kesan krisis global susulan konflik perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ketegangan geopolitik itu memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk peningkatan kos bahan api, logistik serta harga barangan keperluan harian.
Menurutnya, kerajaan memahami beban yang ditanggung rakyat khususnya golongan peneroka Felda yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
“Kerajaan akan sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat terus terbela walaupun berdepan tekanan ekonomi global yang mencabar akibat konflik antarabangsa.
“Kita tidak boleh kawal perang atau harga dunia, tetapi kita boleh ambil langkah untuk kurangkan beban rakyat,” katanya ketika berucap pada program Perdana Menteri Bersama Warga Felda di Felda Semenchu, di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan ketika ini menanggung subsidi bahan api yang tinggi bagi memastikan harga seperti RON95 kekal rendah berbanding negara lain.
Katanya, perbelanjaan subsidi mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik tersebut.
“Walaupun kos meningkat, kita tetap pertahankan subsidi supaya rakyat tidak terbeban seperti di negara lain yang berdepan harga bahan api jauh lebih tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan juga terus memperkukuh usaha meningkatkan hasil negara serta membanteras ketirisan bagi memastikan sumber kewangan dapat disalurkan kepada rakyat.
Beliau turut memberi jaminan bahawa agenda pembangunan Felda akan terus diperkasa termasuk aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas di Felda Semenchu.
Katanya, peruntukan tersebut melibatkan penambahbaikan kemudahan awam termasuk sekolah, masjid serta infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada penduduk Felda Semenchu.
“Walaupun tiada permohonan khusus dikemukakan, saya melihat keperluan di kawasan ini dan kerajaan akan pastikan bantuan disalurkan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus bersatu dan bersabar menghadapi cabaran semasa selain mengamalkan sikap berjimat cermat dalam mengurus perbelanjaan harian.-KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6





![[VIDEO] ‘Di kala PMX pesan jimat cermat, open house tetap on’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/jalan-sesak.jpeg)
![[VIDEO] ‘Terima kasih pinjamkan Amirul Ashraf’, bapa setia hingga ke liang lahad](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/lemas.jpeg)










































