Pilates, adakah sama hukumnya dengan yoga?

2 months ago 34

Senaman yoga adalah haram, namun pada hari ini ramai orang Islam yang ikut senaman pilates yang ada ciri-ciri yoga. Bagaimanakah hukumnya?

Jawapan: Menurut Dr. Rozmey, pilates adalah senaman yang dicipta khusus untuk regangan dan menyeimbangkan badan. Pilates adalah latihan yang sistematik melalui pergerakan tertentu dan corak pernafasan. Pilates pertama kali dibangunkan sekitar abad ke-20 oleh seorang atlet veteran Jerman bernama Joseph Pilates.

Walaupun pergerakannya mungkin kelihatan sama, namun yoga dan pilates adalah dua perkara yang berbeza. Ini kerana pilates adalah versi yoga yang lebih moden.

Yoga pula berasal daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud mengawal, menyambung, menyatu. Manakala, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, yoga bermaksud sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri bersama Tuhan dengan mengheningkan fikiran melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran. Yoga adalah salah satu daripada enam falsafah Hindu dan tujuannya adalah menyatukan diri dengan Tuhan melalui pergerakan yoga.

Menurut kitab asal yoga bertajuk Bhagavad Gita, manusia berada dalam keadaan penderitaan dan kesedihan disebabkan hubungannya dengan Tuhan menjadi longgar. Bagi memperbaiki hubungan tersebut, mereka dianjurkan untuk melakukan yoga. Berdasarkan keterangan ini, jelaslah bahawa yoga memiliki kaitan yang rapat dengan agama Hindu. Oleh itu, umat Islam diharamkan untuk menyertainya sebagaimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Jawatankuasa Muzakarah pada tahun 2008 berpandangan dan berpendapat bahawa: “Senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan Tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang Muslim.

Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Pandangan yang sama juga turut dipersetujui serta diwartakan oleh beberapa buah negeri seperti, Wilayah Persekutuan Selangor, Pinang, Perak dan Kedah.

Islam melarang umatnya menyerupai agama lain sama ada dalam pertuturan, perbuatan atau pakaian. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun, larangan menyerupai orang kafir tersebut adalah pada perkara yang khusus untuk mereka dan menjadi syiar mereka. Apabila perkara itu tidak lagi menjadi syiar kepada sesuatu kaum atau agama, maka ia termasuk dalam perkara yang diharuskan oleh syarak.

Dalam hal ini, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam membincangkan tentang keharusan memakai sejenis pakaian yang disebut taylasan yang tidak lagi menjadi syiar kaum Yahudi beliau menyatakan: Sesungguhnya sesuai untuk menjadikan kisah Yahudi tersebut sebagai dalil (keharaman memakai taylasan), pada masa ketika tayalisah (sejenis pakaian) yang menjadi syiar mereka pada satu ketika dahulu, telah tidak lagi sedemikian pada zaman ini. Maka, ia termasuk dalam perkara umum yang diharuskan syarak.

Kesimpulannya, hukum melakukan senaman pilates adalah diharuskan selagi mana senaman tersebut dilakukan di kawasan yang tertutup dan tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.

Umat Islam hendaklah menjauhi senaman yang mengandungi unsur keagamaan seperti yoga.

Read Entire Article
Pertanian | | | |