KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara terpaksa akur apabila perjalanan di Piala Thomas 2026 ternoktah di peringkat suku akhir selepas tumpas 0-3 di tangan gergasi Asia, China, semalam.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mengakui skuad negara sebenarnya berada di landasan tepat untuk muncul juara kumpulan, namun kegagalan itu akhirnya diundi bertemu lawan sukar di pusingan kalah mati.
Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B selaku naib juara susulan kekalahan tipis 2-3 kepada Jepun, Rabu lalu, yang sekali gus menutup peluang untuk mendapatkan laluan lebih selesa di peringkat suku akhir.
“Ya, jika kita lihat, prestasi kita sebenarnya sudah berada di landasan yang betul. Dari peringkat kumpulan, kita berjaya mara ke pusingan kalah mati.
“Namun, ini agak malang untuk pasukan kita. Sepatutnya kita mampu muncul sebagai juara kumpulan. Tetapi menjadi juara kumpulan juga tidak bermakna laluan kita akan menjadi mudah di suku akhir.
“Inilah yang perlu kita nilai, mengapa pada suku akhir prestasi kita sangat berbeza berbanding peringkat kumpulan, khususnya ketika menentang Jepun,” katanya menerusi video yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini.
Mengulas mengenai aksi menentang China, Rexy memuji semangat juang yang dipamerkan pemain perseorangan, Jun Hao, namun mengakui beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengekalkan penguasaan selepas permulaan yang meyakinkan.
“Hari ini kita lihat ada penampilan lebih baik daripada Jun Hao. Bagi Aaron dan Wooi Yik pula, permainan mereka hanya nampak baik di set pertama, tetapi masuk set kedua, sangat jelas pasangan China mula mendominasi.
“Secara keseluruhan, seluruh pasukan sudah mencuba yang terbaik, tetapi kita terpaksa akur kalah kepada pasukan yang lebih baik hari ini iaitu China,” jelasnya.
Kekalahan itu menyaksikan kemarau kejuaraan Piala Thomas Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1992 terus berlanjutan, manakala China terus memperkukuh status selaku pilihan utama kejohanan. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5

















![[VIDEO] Mas kahwin pohon emas RM15,000, Radin sah suami orang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-01-at-21.27.33.jpeg)
![[VIDEO] ‘Cik kak, awaklah kena stop dulu, orang tu main road’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/a3f48aef-4e7d-4afa-83ee-757a33aa716e.jpeg)



























