Piala Asean B-23: Malaysia jadikan Brunei mangsa lepas geram

5 hours ago 5

PETALING JAYA – Skuad bawah 23 (B-23) negara kembali mencerahkan peluang untuk lolos ke pusingan separuh akhir Piala Asean B-23 2025 selepas menang bergaya 7-1 ke atas Brunei dalam aksi kedua Kumpulan A sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu, pengendali pasukan, Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain utama seperti Ubaidullah Shamsul Fadili, Aysar Hadi dan Haqimi Rosli mengetuai misi pasukan untuk memburu tiga mata.

Pasukan muda Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan hasil tandukan penyerang, Danish Syamer seawal minit ke-3 sebelum pemain lawan, Nazry Aiman tertampan gol le gawang sendiri berselang seminit kemudian.

Kelebihan 2-0 pada lima minit pertama menyaksikan pasukan mudah untuk mengawal tempo perlawanan dengan Haykal Danish menambah jaringan pada minit ke-32.

Haqimi juga enggan melepaskan peluang untuk mencipta nama selaku penjaring dengan meledak gol keempat sebelum wisel babak pertama ditiupkan.

Bersambung pada babak kedua, skuad negara terus garang apabila pemain gantian, Danish Hakimi meledak gol kelima pada minit ke-69.

Namun, kealpaan benteng pertahanan membolehkan skuad Brunei meraih gol saguhati hasil penyudah Haziq Naqiuddin berselang lima minit kemudian.

Pemain gantian, Fergus Tierney kembali memberikan keceriaan buat kem negara dengan meledak gol keenam pada minit ke-76 sebelum Haqimi meledak gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 7-1 pada penghujung saingan.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad B-23 negara masih berpotensi untuk layak ke pusingan separuh akhir tetapi dengan syarat, wajib menewaskan tuan rumah, Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A, Isnin depan.

Ini kerana hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik bakal meraih slot automatik ke kelompok empat negara terbaik kejohanan belia berprestij peringkat Asia Tenggara kali ini.

Sebelum ini, skuad negara mengalami kekalahan mengejut kepada Filipina 0-2 sekali gus memberi tamparan hebat buat misi pasukan kebangsaan untuk mendahului carta Kumpulan A. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |