Pesakit di Gaza tiba tanpa henti

2 weeks ago 19

PETALING JAYA – Pasukan perubatan di Gaza terus bergelut menghadapi aliran pesakit yang tiba tanpa henti setiap hari, akibat konflik yang masih berlanjutan di wilayah itu.

Menurut Mercy Malaysia, Pasukan Specialised Care Team 6 (SCT 6) mereka telah berada di Gaza sejak dua minggu lalu, berdepan cabaran kekurangan tenaga, peralatan serta ubat-ubatan di Hospital Al-Shifa dan fasiliti berkaitan.

“Dalam keadaan ini, pasukan perubatan Mercy Malaysia bersama rakan tempatan berusaha memastikan rawatan asas dan pembedahan penting dapat diteruskan.
“Antara rawatan yang dijalankan termasuk pembedahan ortopedik untuk mangsa kecederaan perang, dialisis bagi pesakit buah pinggang serta penjagaan kesihatan ibu dan anak yang terjejas akibat konflik berpanjangan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Mercy Malaysia menambah, semangat petugas di sana tetap tinggi walaupun berdepan risiko keselamatan dan usaha pemulihan sistem kesihatan terus dijalankan untuk memastikan hak pesakit mendapat rawatan kekal terpelihara.

“Di sebalik kekangan dan risiko keselamatan, semangat petugas kesihatan di Gaza tidak pernah luntur. Mercy Malaysia terus menyokong usaha pemulihan sistem kesihatan dan memastikan hak untuk mendapat rawatan kekal terpelihara,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus dilaporkan berkata, SCT 6 yang kini berada di Gaza berdepan kekangan ketara melibatkan kekurangan peralatan perubatan, kelengkapan pembedahan serta ubat-ubatan, selain terus beroperasi dalam keadaan keselamatan yang masih berada pada tahap bahaya.

Katanya, walaupun gencatan senjata sementara telah mengurangkan jumlah serangan, ancaman keselamatan tetap berlaku dari semasa ke semasa terutama sekitar Hospital Al-Shifa, Bandar Gaza yang menjadi lokasi utama penugasan pasukan tersebut.

Beliau berkata, pasukan terdiri daripada enam anggota profesional, merangkumi empat pakar bedah iaitu tiga ortopedik dan seorang pakar bedah am serta dua jururawat pakar dalam bidang perbidanan dan dialisis. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |