SHAH ALAM – Pertubuhan yang memakai pakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan uniform sebelum ini didapati menjual pangkat kehormat dan pingat palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati penjualan tersebut ditawarkan kepada orang awam yang menyertai pertubuhan berkenaan.
Katanya, semakan mendapati pertubuhan itu berdaftar sejak 2022 lagi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan.
“Mereka tiada aktiviti dengan kongsi gelap namun kita percaya mereka menjual pangkat kehormat dan pingat palsu kepada orang awam yang menyertai atau jadi ahli ini.
“Harga jualan berkaitannya masih dalam siasatan dan kita minta sesiapa yang menjadi mangsa untuk tampil kepada polis,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, kita telah merampas 18 helai pakaian bersama lencana, lambang serta aksesori tersebut.
Pemeriksaan juga telah dibuat dan merampas beberapa barangan di pejabat pertubuhan itu di Pinggiran Subang dekat sini.
“Siasatan mendapati majlis berkenaan telah dianjurkan oleh seorang individu dari pertubuhan yang berlangsung di sebuah hotel di Sungai Buloh.
“Aksesori dipakai hampir menyerupai seperti tentera. Hasil semakan mendapati lambang dan lencana yang digunakan pada pakaian adalah tidak seperti yang didaftar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya telah merakam keterangan daripada 40 individu dan akan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membatalkan pendaftaran pertubuhan itu.
“Tujuh termasuk pengasas akan dituduh dalam masa terdekat dengan kes disiasat Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Kosmo! pada 4 Januari lalu melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berkaitan sekumpulan individu berpakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan uniform ketika menghadiri salah sebuah majlis, baru-baru ini.
Ini selepas pihaknya terkesan satu video di aplikasi Tiktok kira-kira pukul 2.30 petang pada 3 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE