Persatuan Sinaran Hidup sumbang RM100,000 santuni 400 penerima bantuan

3 days ago 6

KUALA LUMPUR – Persatuan Sinaran Hidup (Family of Charity) telah menyantuni lebih daripada 500 penerima bantuan yang terdiri daripada golongan kurang berpendapatan rendah, asnaf dan anak-anak yatim dari pelbagai rumah kebajikan dalam Majlis Amal Iftar Perdana baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Dewan PPR Hiliran Ampang.

Turut hadir Penaung Diraja Persatuan Sinaran Hidup, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Syed Amir Abidin  Jamalullail Syed Putra Jamalullail dan juga  Che Puan Temenggong  Perlis, Datin Seri Farinawati Mohamat Din.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis tersebut, nilai sumbangan persatuan untuk kumpulan berkenaan adalah sebanyak RM100,000 dan ia telah diagihkan kepada  kira-kira 400 penerima bantuan.

“Sumbangan tersebut berupa bakul makanan untuk mengurangkan beban perbelanjaan untuk menyambut Syawal tidak lama lagi manakala kanak-kanak pula menerima barang persekolahan baharu,” jelasnya.

Selain menjamu selera dengan pelbagai juadah enak yang disumbang oleh pelbagai syarikat, para tetamu juga dihiburkan dengan tarian zapin daripada kumpulan anak-anak istimewa.

Lebih memeriahkan lagi majlis adalah pemberian duit raya kepada semua kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |