PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini menetapkan 13 November ini bagi permohonan syarikat Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung pertikaian membabitkan tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu yang dikenali sebagai Duta Enclave.
Tarikh itu ditetapkan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, hari ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.
Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Dr. Cyrus V Dass mewakili SESB manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.
Dalam saman sivil, pihak-pihak yang ingin merayu di Mahkamah Persekutuan harus mendapat kebenaran merayu terlebih dahulu.
Sebelum ini pada 24 Jun lalu kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan berjaya dalam rayuan bagi mengetepikan perintah pemindahan hak milik 263 ekar (106 hektar) tanah di Duta Enclave kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB).
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng selepas membenarkan rayuan kerajaan.
Dalam prosiding sama, panel turut menolak rayuan silang SESB supaya tanah berkenaan dipindah milik kepadanya.
Meskipun kerajaan kekal dalam milikan tanah tersebut, mahkamah mengarahkan pampasan dibayar kepada SESB yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.
Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Tanah terbabit, yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula 7 Ogos 2024 selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.
Hakim itu turut memerintahkan defendan supaya mendaftarkan plaintif (SESB) sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Pada 2003, SESB memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Kemudian pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa SESB mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3










![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)






































