PERSAINGAN merebut tempat dalam kuartet 4×100 meter (m) wanita negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand dijangka sengit apabila enam pelari terbaik disenaraikan bagi mengisi empat slot utama, termasuk penyertaan ratu 400m negara, Shereen Samson Vallabouy.
Selain Shereen, lima lagi pelari tersenarai ialah jaguh berpengalaman Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias, Nur Aishah Rofina Aling, serta dua bintang muda berbakat besar, Nur Afrina Batrisyia dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd. Hamka.
Zaidatul Husniah, 32, yang juga antara pelari paling senior dalam skuad itu, mengakui tidak tertekan dengan persaingan tersebut sebaliknya menjadikan cabaran itu sebagai motivasi untuk membantu pasukan negara meraih pingat pada di temasya dwitahunan tersebut, Disember ini.
“Saya nampak acara 4x100m paling berpotensi untuk raih pingat, tapi saya juga letak sasaran sama dalam acara 100m individu kerana kedua-duanya tanggungjawab saya. Harap kami boleh buat yang terbaik dan mungkin cipta keajaiban di sana,” katanya ketika ditemui sebelum ini.
Jelas pelari kelahiran Kedah itu, sasaran utamanya adalah menempatkan diri di podium terlebih dahulu, manakala warna pingat akan bergantung kepada prestasi pasukan pada hari perlumbaan.
Mengulas lanjut mengenai saingan yang bakal dihadapi, Zaidatul menjangkakan cabaran getir menanti, sambil menegaskan rekod kebangsaan 44.58 saat perlu dipecahkan jika mahu menumbangkan kuartet utama Thailand.
“Saingan kali ini sangat sengit. Semua negara sedang bekerja keras, jadi saya kena buat persiapan rapi dan beri 110 peratus nanti. Untuk menang emas, kita mesti pecah rekod kebangsaan dan catat masa lebih pantas,” ujarnya penuh tekad.
Pencapaian terbaik Zaidatul di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah memenangi dua pingat perak dalam acara 100m dan 200m, selain membantu kuartet negara meraih tiga pingat gangsa pada edisi 2015, 2019 dan 2023.

19 hours ago
7

















![[VIDEO] ‘Masalahnya koko hari Rabu bukan hari Jumaat bang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-02-at-2.32.34-PM.jpeg)































