Penyanyi lagu asli Aspalela Abdullah meninggal dunia

1 month ago 46

PETALING JAYA – Penyanyi lagu asli, Aspalela Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 80 tahun pukul 10 pagi tadi.

Berita duka itu dikongsikan cucu beliau iaitu Puteri Wan Nur Izzati Azhari, 30, yang memaklumkan pemergian Allahyarham secara mengejut selepas jatuh di bilik air di kediamannya di Taman Melati dalam pukul 7 pagi.

“Nenek memang ada penyakit tetapi masih terkawal cuma tenaganya semakin berkurangan disebabkan faktor usia.

“Kami pun tak sangka nenek bangun sendiri ke bilik air sebab berikutan tenaganya yang merosot, kami pakaikan lampin pakai buang.

“Sebaik menyedari nenek jatuh, kami terus hubungi ambulan yang membawanya ke hospital. Nenek menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Penyanyi yang sudah enam dekad menabur bakti dalam arena seni suara itu tinggal bersama anak dan cucunya sejak dahulu.

Menurut Puteri lagi, biarpun mempunyai darah tinggi sejak beberapa tahun lalu kesihatan arwah masih pada tahap terkawal.

Begitupun, katanya beberapa bulan lalu tampak perubahan terhadap dirinya yang mengakibatnya lebih banyak berehat.

“Ikutkan nenek memang dari dulu jaga pemakanan dan ambil ubat ikut jadual. Kami reda walaupun sedih dengan kehilangan insan paling kami sayang.

“Bulan depan genap usia nenek 80 tahun. Tapi Allah lebih menyayanginya, doakan semoga roh nenek ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.

Jenazah masih berada di HKL sebelum dibawa ke Masjid Salahuddin Al Ayubi Taman Melati untuk mandi jenazah dan dikapankan.

Jenazah akan dikebumikan di  Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur selepas Asar.

Terdahulu, nama Aspalela ampuh sebagai penyanyi lagu Melayu Asli yang dihormati ramai. Aspalela menghasilkan lima album sepanjang kerjaya seninya.

Beliau juga merupakan bekas kerani bahagian analisis di Tenaga Nasional Berhad.

Album Joget Cari Makan diterbitkan Omar Taib pada 1991 dianggap album cari makan kerana lagu yang dimuatkan sering dinyanyikan dalam setiap undangan persembahan.

Pernah meraih juara Bintang Radio 1968, Allahyarham menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Bagaimanapun, anak bongsu mereka menghembuskan nafas terakhir beberapa tahun lalu.

Allahyarham Aspalela juga mempunyai tiga orang cucu.

Selepas tidak lagi aktif menyanyi, Allahyarham Aspalela memberi tumpuan pada aktiviti marhaban dan bacaan Yassin bersama-sama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |