LANGKAWI – Pengusaha feri, Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line) menjelaskan pihaknya sekarang berada di ambang kesukaran berikutan kos upah yang semakin meningkat iaitu daripada RM800 kepada RM1,700.
Pengurus Besarnya, Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, kadar tambang feri yang dikenakan kepada penumpang ketika ini adalah yang terendah dalam negara.
“Pada masa sama kos upah semakin meningkat iaitu daripada RM800 kepada RM1,200 dan seterusnya RM1,500 dan RM1,700,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, pelbagai tafsiran positif dan negatif susulan pengumuman kenaikan tambang pengangkutan itu yang dibuat secara ‘terburu-buru’ oleh pihaknya pada kelmarin.
“Di sebalik tabir, kenaikan ‘terburu-buru’ itu adalah natijah daripada janji yang tidak diminitkan ketika kenaikan pertama pada 5 Ogos 2022.
“Pada kenaikan pertama iaitu setelah 15 tahun tiada kenaikan, hanya dibenarkan 50 peratus daripada kenaikan tambang yang diluluskan iaitu RM6 bagi laluan Kuala Perlis–Langkawi–Kuala Perlis dan RM7 bagi laluan Kuala Kedah–Langkawi–Kuala Kedah atau 30 peratus daripada harga asal tiket ketika itu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kenaikan baki 50 peratus iaitu pada kadar RM3 dan RM3.50 dibenarkan setelah genap 24 bulan daripada tarikh kenaikan pertama.
“Ferry Line sedar pengusaha feri di Malaysia terikat rapi oleh Seksyen 65D (d) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di mana kadar tambang bagi kategori ekonomi dikawal selia oleh Kerajaan Persekutuan.
“Oleh itu, Ferry Line berusaha menagih janji, namun tiada maklum balas sewajarnya sehingga tindakan ‘terburu-buru’ terpaksa diambil walaupun ia kurang popular,” jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya berlaku kenaikan seperti dijanjikan, kadar tambang feri di Langkawi masih tetap yang terendah dalam negara.
“Sebagai perbandingan, kadar tambang bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Langkawi-Kuala Perlis adalah masing-masing RM26.50 pada jarak 30 batu nautika (bn) dan RM21 pada jarak 21 bn, manakala feri bagi laluan Tanjung Gemuk-Tioman bagi jarak 30 bn adalah berharga RM60.
“Laluan Mersing-Tioman bagi jarak 25 bn adalah RM60, Kuala Terengganu-Pulau Redang berjarak 26 bn (RM55) dan Lumut-Pulau Pangkor berjarak lima bn (RM10),” katanya.
Ferry Line pada masa sama merakam jutaan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan atas Program Bantuan Subsidi Diesel Madani yang akan diumumkan kelak.
Akhbar pada kelmarin melaporkan Ferry Line mengumumkan kenaikan tambang feri bagi perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis sebanyak RM3 hingga RM10.50 bermula 1 Januari ini.
Walau bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik di Langkawi.
Ferry Line kemudian mengeluarkan kenyataan pihaknya membatalkan kenaikan tambang tersebut atas nasihat Kementerian Pengangkutan. Walau bagaimanapun kenaikan harga bagi pelancong asing tetap berkuat kuasa pada 1 Januari depan. – KOSMO! ONLINE