Pengurus Iris Hsieh dakwa Namawee sembunyikan kebenaran

9 hours ago 4

PETALING JAYA – Pengurus kepada pempengaruh media sosial Taiwan, Hsieh Yu-hsin, tampil mendakwa penyanyi rap Malaysia, Namewee, menyembunyikan kebenaran berhubung kematian personaliti tersebut.

Menerusi hantaran pengurus berkenaan yang dikenali sebagai Chris di akaun Instagram @Rameneater69, dia menegaskan wujud percanggahan ketara antara kenyataan awam Namewee dan laporan rasmi polis.

Chris berkata dia telah melantik penyiasat persendirian serta menghubungi pihak polis Malaysia beberapa kali untuk mendapatkan kepastian mengenai punca kematian Hsieh atau lebih dikenali sebagai Iris Hsieh Yu-hsi, namun maklumat yang diterima didakwa bercanggah dan tidak konsisten.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, saya sendiri telah menugaskan penyiasat persendirian dan berhubung dengan pihak polis Malaysia beberapa kali bagi merungkai kebenaran di sebalik kematian Yung (Hsieh Yu-hsin).

“Namun, maklumat yang kami terima sentiasa bercanggah dan tidak konsisten,” katanya.

Menurut Chris, beliau pada awalnya memilih untuk berdiam diri atas rasa hormat kepada keluarga mendiang serta bagi mengelak penyebaran dakwaan tidak berasas, namun kini merasakan sudah tiba masanya untuk menuntut penjelasan terbuka.

“Kami pada mulanya diberitahu kematiannya disebabkan ‘serangan jantung’ dan diklasifikasikan sebagai kemalangan.

“Tetapi kenyataan rasmi kini menunjukkan versi yang jauh berbeza dan bercanggah jelas dengan dakwaan awal serta kenyataan awam oleh Huang Mingzhi (Namewee),” katanya lagi.

Chris juga menuduh Namewee membuat kenyataan awam yang bercanggah dengan laporan polis, dan mendesak beliau untuk tampil memberi penjelasan jujur kepada umum.

“Kenyataan anda tidak sepadan dengan laporan polis rasmi. Jurang ini bukan sahaja mengejutkan, tetapi menimbulkan kemarahan semua yang mengambil berat tentang kebenaran.

“Apakah yang anda sembunyikan? Berapa banyak lagi kebenaran yang belum anda dedahkan?” soalnya.

Tambahnya, keluarga Hsieh masih terlalu sedih untuk memberi sebarang kenyataan rasmi, dan oleh itu Chris membuat kenyataan itu atas kapasiti peribadi sebagai rakan sekerja lama yang mahu menuntut keadilan.

“Saya akan terus bekerjasama dengan penyiasat persendirian, peguam dan pihak berkuasa Malaysia sehingga semua fakta terdedah dan segala penipuan terbongkar.

“Orang ramai berhak mengetahui kebenaran, dan Yung berhak mendapat keadilan,” ujarnya tegas.

Hsieh Yu-hsin, 31, dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air sebuah hotel di Malaysia ketika sedang menjalankan penggambaran bersama Namewee.

Penyanyi itu dikatakan cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghubungi ambulans sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Namewee sebelum ini menafikan dakwaan penggunaan dadah sebagai ‘tidak berasas’, namun polis mengesahkan beliau ditahan dan didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menahan Namewee berhubung kematian Hsieh.

Sebelum ini pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaaan sebagai mati mengejut (SDR), namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |