PETALING JAYA – Kenaikan harga diesel melebihi RM6 seliter nyata terus menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda.
Rata-rata mereka dilihat masih ‘fighter’ meneruskan penggunaan kenderaan masing-masing walaupun kos bahan api semakin menekan.
Menerusi satu hantaran tular di TikTok, timbul persoalan sama ada pengguna diesel akan memilih untuk ‘menyimpan’ pikap di rumah atau terus melawan kenaikan harga tersebut.
Bagaimanapun, meninjau ruangan komen, rata-rata pemilik pikap dilihat masih kekal menggunakan kenderaan mereka untuk urusan harian termasuk pergi dan balik kerja, menghantar anak ke sekolah serta mencari rezeki.
Seorang pengguna berseloroh dia seolah-olah berasa seperti ‘orang kaya’ setiap kali mengisi minyak diesel di stesen minyak kerana menjadi perhatian orang sekeliling.
“Saya guna (pikap) je. Pergi stesen minyak isi diesel, semua orang tengok. Terasa saya orang kaya,” komen @Geejoe.
Pada masa sama, ada juga pengguna pikap yang mengambil pendekatan santai dan menganggap keadaan itu sebagai cabaran sementara, malah sebahagiannya tetap mempertahankan penggunaan pikap atas faktor keperluan dan komitmen sedia ada.
“Pengguna Dmax hadir. Naik hari-hari takkan nak simpan kot, beli pun ratus ribu,” kata @Ejadins.
“Saya pakai Hilux pun hari-hari jalan turun kerja balik kerja hantar anak sekolah jemput anak sekolah, tenang je pun,” komen @Sarawakian juga.
Bagaimanapun, terdapat juga pengguna yang meluahkan kebimbangan berhubung kos harian yang semakin tinggi, terutama bagi mereka yang hanya mempunyai sebuah kenderaan untuk kegunaan keluarga dan kerja.
“Hilux. Masih lawan bang. Ini satu-satunya kenderaan yang saya ada. Pengangkutan seharian sama ada untuk keluarga atau bekerja. Cuma risau nanti poket tercekik sebab nafas pun dah makin ketat,” luah @Adacepthamotion.
“Masih guna Triton pikap nak tak nak kena hadap juga, apakan daya kereta untuk mencari rezeki. Setiap kali isi minyak menitik air mata, yang merasai sahaja yang tahu,” komen @Apriyani pula. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2
![[VIDEO] Ada 6 lagi dapat 11A, doakan kawan-kawan saya juga – Fakhrul Iman](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-02-at-10.23.27-PM.jpeg)


![[KEMAS KINI] Tiga sekeluarga maut, dua parah kemalangan tiga kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/f0f989eb-d1fe-48e5-ba1a-2ecfc6d9ccdb.jpeg)











































