Pengerusi LBS sampai ucaptama alumni di Majlis Graduasi Universiti Cardiff

10 hours ago 4

PETALING JAYA – Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS) dan Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, Tan Sri Dr. Lim Hock San kembali ke alma mater beliau, Universiti Cardiff, United Kingdom, sebagai penceramah alumni yang disegani.

Menyampaikan ucapan yang penuh inspirasi pada hari terakhir majlis graduasi universiti tersebut, Hock San berkongsi refleksi peribadi, pandangan kepemimpinan serta kata-kata semangat kepada para graduan, sekali gus mencipta detik yang membanggakan dan penuh makna dalam perjalanan beliau dari seorang mahasiswa kepada tokoh terkemuka dalam industri, khususnya pembangunan hartanah.

Menamatkan pengajian pada tahun 1982 dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Awam, beliau turut merangkul Tempat Kedua dalam Pertandingan anjuran British Steel Corporation bagi reka bentuk astaka stadium bola sepak menggunakan struktur keluli berongga.

Daripada pencapaian awal tersebut, beliau mengorak langkah dalam dunia keusahawanan bermula daripada perniagaan pengangkutan lori yang sederhana, kini terlibat secara langsung mengembangkan LBS yang telah merangkul pelbagai anugerah serta dikenali sebagai pembangunan perbandaran transformatif yang berteraskan komuniti.

“Kejayaan tidak datang bergolek,” ujar Hock San kepada para graduan.

“Perjalanan kejayaan dipenuhi liku-liku cabaran, namun integriti, nilai murni serta ketabahan yang bakal membawa anda lebih jauh ke hadapan.

“Apa yang dibina hari ini adalah penting, maka pupuklah ia dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dinobatkan dengan lebih daripada 100 anugerah dan pengiktirafan, Hock San turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh UNITAR International University pada tahun 2023 sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan negara dan kecemerlangan kepimpinan.

Beliau turut menyandang gelaran Profesor Adjung di universiti yang sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |