Pengawal peribadi salah guna pistol, menyamar polis untuk samun

1 month ago 32

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal peribadi dan rakannya ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis ketika samun di sebuah rumah di Taman Usahawan Kepong, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada seorang wanita warga Indonesia kira-kira pukul 11 malam.

Katanya, mangsa berusia 40 tahun itu memaklumkan terdapat dua individu memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan di rumahnya.

“Mangsa curiga dengan tindakan kedua-dua suspek dan segera menghubungi Balai Polis Kepong untuk mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, suspek bertindak merampas telefon bimbit milik mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno memaklumkan sepasukan polis menyerbu lokasi kejadian dan menahan kedua-dua suspek berusia 42 dan 55 tahun.

“Salah seorang suspek didapati bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala seorang lagi tidak bekerja,” katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas sepucuk pistol jenis CZ 75, 10 butir peluru, sekeping kad lesen senjata api milik syarikat kawalan keselamatan, serta dua telefon bimbit yang dirampas daripada mangsa.

“Siasatan mendapati pistol berkenaan milik syarikat kawalan keselamatan dan dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pemerasan.

“Suspek tidak memakai pakaian seragam polis dan hanya memperkenalkan diri sebagai anggota secara lisan.

“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata api dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan awal menunjukkan ini mungkin kes pertama suspek melakukan kegiatan tersebut.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan . – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |