Pengasuh beritahu muka Harraz tertutup dengan selimut – Ibu mangsa

1 month ago 63

MELAKA – “Pengasuh beritahu dia nampak muka Harraz tertutup dengan selimut selepas tidurkannya di atas tilam.”

Itu yang dikongsikan Ainol Izzah Raslan, 25, ibu kepada Harraz Noah Nazrul Nizam, bayi berusia enam bulan yang maut selepas dihantar ke rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin, hari ini.

Katanya, dia yang bekerja sebagai kerani menerima panggilan daripada pengasuh pada pukul 11.40 pagi tadi memberitahu Harraz tidak sedarkan diri selepas muka bayi itu dilihat tertutup dengan selimut ketika dia melakukan kerja-kerja di rumah.

“Saya hantar Harraz dalam pukul 7.30 pagi dan selepas tu saya memang ada WhatsApp dengan pengasuh sebelum dia tiba-tiba telefon saya dalam suara panik menjerit ‘Harraz, Harraz, Harraz!.

“Dia beritahu Harraz tidak sedarkan diri, ibu yang duduk berdekatan rumah pengasuh terus bergegas ke sana dan bawa Harraz ke Klinik Kesihatan Merlimau tetapi ketika itu keadaannya memang sudah lembik sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, tadi.

Tambahnya, dia baru sahaja menghantar bayi sulungnya itu untuk dijaga pengasuh terbabit sejak empat bulan lalu selepas yakin wanita berusia 27 tahun berkenaan yang dikenali hasil pencarian Facebook mampu menjaga bayi mereka.

“Saya dan suami, Nazrul Nizam Mohd. Tahar, 29, yakin dia berpengalaman jaga bayi kerana dia juga mempunyai dua orang anak.

“Sepanjang tempoh empat bulan itu memang kami tidak menjumpai sebarang kesan luka pada Harraz dan memang dia (pengasuh) menyayanginya,” ujarnya reda.

Katanya lagi, dia hanya mengesyaki kematian bayinya itu adalah akibat lemas, selain pengasuh terbabit juga menafikan Harraz tersedak susu kerana bayi itu telah sendawa selepas disusukan.

“Harraz pun sudah pandai capai barang di sekelilingnya, mungkin dia tertarik selimut itu. Malam tadi kami juga sempat berikan Harras pisang sebagai makanan pejal pertama pada usianya,” ujarnya sebak.

Sehingga pukul 7 malam tadi, pasangan suami isteri itu masih lagi berada di ruangan menunggu sementara proses bedah siasat dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kematian. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |